KENAIKAN harga rumah mendadak kini semakin meresahkan masyarakat khususnya golongan B40 yang dikhuatiri paling terkesan dengan situasi tersebut.
Bagi penduduk di kawasan bandar, impian untuk memiliki kediaman pertama dilihat semakin kabur dengan purata minimum harga rumah rata-ratanya sudah mencapai harga sekitar RM400,000 hingga RM600,000 bagi teres setingkat.
Hal itu nyata mengundang pertikaian dalam kalangan rakyat yang terpaksa melupakan impian tersebut dan memilih untuk menyewa rumah terutamanya bagi golongan yang baru berkahwin.
BACA LAGI: Derita pembeli rumah teres di Jalan Kebun, bayar RM1,800 sebulan sejak 2020 tapi masih tak siap-siap
Bahkan, segelintir masyarakat mula mengamalkan konsep 'menyewa sampai mati' susulan kenaikan harga rumah yang semakin tidak terkawal dan memudaratkan pembeli.
Warganet di laman media berpendapat bahawa, perkara itu berpunca akibat sikap sesetengah pemaju perumahan yang sengaja mengambil kesempatan dalam kesempitan ekonomi dihadapi negara ketika ini.
Dengan kenaikan harga barangan yang semakin mendadak kebelakangan ini, pemaju perumahan juga tidak terlepas daripada memainkan peranan dalam isu berbangkit apabila dikatakan sengaja meletakkan harga tinggi tanpa kawalan di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Harga kediaman di Malaysia dikatakan semakin mahal dan menyukarkan rakyat memiliki rumah.
Seorang warganet, Suhaim Ariffin menggesa agar kerajaan tampil menjalankan siasatan dan kawalan harga rumah terhadap golongan pemaju.
"Sepatutnya kerajaan yang kawal harga rumah sama ada di pinggir bandar ataupun luar bandar, dengan adanya campur tangan kerajaan, maka pemaju tidak akan semudahnya tetapkan harga tinggi.
"Adakan semula skim projek perumahan seperti tahun dahulu iaitu kos rendah, sederhana dan mewah, biar rakyat bebas buat pilihan.
BACA LAGI: Jawapan menteri mengenai rumah terbengkalai di Parlimen tepat
"Tapi sekarang bagi pemaju yang tetapkan harga, harap kerajaan peka dengan soal kemampuan rakyat mampu miliki rumah dan bukannya menyewa selamanya," katanya.
"Mengapa tiada kawalan terhadap harga rumah, bila berlaku spekulasi baru nak gubal pelbagai undang-undang, gaji pekerja boleh ada pula kawalan, jadi rakyat lebih rela menyewa sampai mati," ujar Sakinah Andin.
"Pemaju tamak buat rumah harga ratus ribu mana rakyat mampu nak beli dengan gaji minimum RM1,500, kerajaan patut pantau setiap pemaju supaya buat juga rumah harga di bawah RM100,000, terlalu banyak sangat kediaman mahal sampai tersadai sebab tak ada siapa mampu beli dan sudahnya disewakan kepada warga asing dan rakyat sendiri merempat," jelas Natrah De Lengends.
Justeru, dengan luahan pengguna di laman media menyaksikan masyarakat menggesa agar kerajaan tampil menetapkan kawalan harga terhadap pemaju perumahan agar pihak terlibat tidak sewenang-wenangnya meletakkan kos ratusan ribu bagi sesebuah kediaman baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram