Tuntutan Sulu: Gonzalo Stampa kena hukuman penjara 6 bulan


  • Primer
  • Isnin, 08 Jan 2024

Azalina (depan, tengah) ketika berada di Mahkamah Jenayah Madrid, Sepanyol pada pada Disember lalu. — Twitter/Azalina

PENIMBANG tara dari Sepanyol, Gonzalo Stampa yang terlibat dalam kes tuntutan kumpulan yang mengaku waris Kesultanan Sulu dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Tahniah kepada semua rakyat Malaysia! Penimbang tara penyangak Gonzalo Stampa didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah Sepanyol bersama-sama dengan larangan daripada melakukan praktis sebagai penimbang tara selama setahun.

“Usaha Kerajaan Madani dalam menangani dan menghentikan Tuntutan Palsu Sulu adalah tidak sia-sia.

"Kami terus berjuang untuk keadilan, dan akan meneruskan usaha kami untuk membatalkan Final Award," katanya menerusi perkongsian di platform X, pada Isnin.

BACA LAGI: Tuntutan Sulu: Malaysia mahu Mahkamah Madrid jatuhkan hukuman penjara terhadap Stampa

Pada Disember lalu, Azalina melakukan lawatan ke Sepanyol untuk memantau perbicaraan terhadap Stampa di Mahkamah Jenayah Madrid.

Stampa didakwa atas 'amalan profesional yang tidak layak' selepas secara kontroversi mengarahkan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pewaris mengaku sebagai keluarga daripada Kesultanan Sulu.

Pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid mengeluarkan penghakiman, selaras dengan undang-undang kesnya, memutuskan bahawa sebagai negara asing, Malaysia dilibatkan secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.

Mahkamah membatalkan pelantikan Stampa, semua tindakan prosedurnya dan memerintahkan supaya Malaysia dipanggil dengan tertib dan memulakan semula prosiding timbang tara.

BACA LAGI: Kes Sulu: Malaysia dalam proses batalkan award akhir RM62.59 bilion

Pembatalan pelantikan Stampa kemudiannya dikekalkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol selepas rayuan oleh beberapa warga Filipna gagal.

Stampa merupakan seorang penimbang tara Sepanyol yang terlibat dalam kes undang-undang berkaitan Malaysia dan 'waris' kesultanan Sulu.

Keputusan kes ini adalah penting kerana ia berpotensi membatalkan semua keputusan dibuat oleh Stampa sebelum ini.

Kes terhadap Stampa dilihat sebagai satu langkah penting dalam menangani isu yang disifatkan sebagai tuntutan palsu dan tidak berasas kepada Malaysia daripada wakil yang mengaku waris kesultanan Sulu. — Majoriti.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram