PDRM tiada perancangan bawa pulang raja dadah Malaysia — Ayob Khan


  • 112
  • Isnin, 08 Jan 2024

Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan bahawa pihaknya tiada dalam perancangan untuk membawa pulang suspek ke Malaysia. — The Sta

KETUA dadah Malaysia yang ditahan di Laos akan didakwa di Thailand atas kesalahan mengedar dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Bukit Aman tiada dalam perancangan untuk membawa suspek pulang ke Malaysia.

"Suspek berasal dari Perak dan berkahwin dengan seorang wanita warga Thailand dan kami akan menyerahkan pendakwaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa negara terbabit.

BACA LAGI: Penagih jadi pengedar, polis Thailand dedah syabu, pil yaba paling banyak diseludup ke Malaysia

"Setakat ini, kami tidak bercadang untuk membawa balik suspek, biar dia didakwa di Thailand," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Isnin.

Tambahnya, mana-mana rakyat Malaysia yang melakukan jenayah di luar negara harus menghadapi tindakan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang negara masing-masing, katanya.

Untuk rekod, seorang pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand telah ditahan semasa operasi bersama Thailand-Laos minggu lalu.

Menurut polis Thailand, individu berusia 39 tahun itu yang didakwa mengedar dan mengetuai sindiket dadah telah bersembunyi di Laos.

Penolong Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Panurat Lakboon berkata, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) telah menyiasat suspek yang disyaki pengedar dadah di kawasan Segitiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

Beliau berkata, suspek ditahan di Laos pada 29 Disember dan telah bekerja dengan rangkaian dadah di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura, dan Laos.

"Suspek juga menjadikan Thailand sebagai destinasi untuk pengubahan wang haram dan lokasi transit penyeludupan dadah termasuk ke negara seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.

"Tangkapan itu adalah hasil siasatan berterusan dan penyelarasan rapat antara agensi penguatkuasaan Thailand, Malaysia dan Laos," katanya dalam satu kenyataan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram