Ramai harap tayangan skrin besar Piala Asia di seluruh negara


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Tayangan skrin besar sememangnya cukup diharapkan orang ramai untuk menonton aksi Piala Asia secara meriah.

RABU lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan aksi Piala Asia yang akan berlangsung bermula 16 Januari ini akan ditayangkan secara percuma menerusi saluran RTM.

Perkhabaran tersebut pastinya cukup menggembirakan memandangkan pertandingan itu sudah dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air selepas kali terakhir negara layak adalah pada 2007.

Jadi, dalam usaha menghangatkan lagi suasana Piala Asia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut tampil dengan inisiatif tayangan skrin besar untuk tiga perlawanan membabitkan Harimau Malaya.

Usaha yang dibuat dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tersebut bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Saksikan debaran perlawanan Piala Asia Qatar 2023 secara langsung di dua buah skrin gergasi Stadium Nasional Bukit Jalil. Masuk adalah percuma.

KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam program rancangan Naratif Khas bertajuk 'Membina Naratif Baru' terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fahmi memberi berita gembira apabila mengumumkan aksi Piala Asia akan ditayangkan di RTM.

"Tayangan skrin besar di 'Home of Harimau Malaya' dibawakan khas kepada peminat bola sepak negara oleh KBS. Jumpa anda di sana!" tulis FAM di laman media sosial rasmi mereka.

Inisiatif tersebut dianggap sebagai satu langkah cukup memberangsangkan kerana ia merupakan kali pertama negara layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun.

Selain itu, harapan juga diletakkan terhadap kerajaan negeri untuk menyambut baik usaha tersebut dengan menyediakan skrin besar untuk tontonan secara umum.

"Sebaiknya di negeri lain juga perlu dibuat sebegini, biarkan ada yang terbuka. Exco Sukan setiap kerajaan negeri perlu mainkan peranan untuk sokong aksi pasukan negara," kata Ary Razak.

"Patutnya seluruh negeri ada skrin besar seperti ini. Buat sesi tontonan umum sebelum perlawanan bermula. Ini kerana Piala Asia adalah kejohanan kedua terbesar selepas Piala Dunia," kata Ali Hassan.

"Harapnya adalah tempat lain buat tayangan seperti di Bukit Jalil nanti. Barulah meriah nak tengok perlawanan dengan suasana berbeza," kata Shamsul Pali.

Pasukan negara akan berdepan Jordan dalam aksi pembukaan pada 16 Januari sebelum bertemu Bahrain untuk perlawanan kedua Kumpulan E empat hari kemudian.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kemudiannya akan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari dalam usaha meloloskan diri ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram