KHABAR angin kuat bertiup kencang di kem Selangor FC selepas beberapa watak penting utama Gergasi Merah bakal angkat kaki pada penghujung musim ini.
Malah baru-baru ini, Gergasi Merah dikejutkan dengan pengumuman perpisahan oleh pemenang Kasut Emas Liga Super 2023, Ayron Del Valle yang dipercayai bakal kembali ke negara kelahirannya, Colombia.
Susulan berita kurang gembira itu, penyokong setia Gergasi Merah itu mula menyebut beberapa nama pemain Liga Malaysia (Liga M) yang sesuai untuk menggantikan Ayron musim depan.
Antaranya, penyerang muda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo, pemain berkualiti Kuching City FC, Abu Kamara dan penyerang import Sabah FC, Ramon Machado.
Pastinya, kehadiran salah seorang daripada ketiga-tiga penyerang yang bakal menggantikan Ayron itu dilihat mampu membantu Selangor FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim depan.
Untuk rekod, bersama KDA FC, Hidalgo sudah mencetak empat gol dan 10 assists dalam kesemua perlawanan Liga M, manakala Abu Kamara pula meledak 13 jaringan sepanjang 22 perlawanan Liga Super berlangsung.
Penyerang berbisa Sabah FC, Machado mencipta 11 jaringan selepas 13 perlawanan Liga M berlangsung.
Ayron meledak 23 gol sepanjang saingan Liga Super musim ini. — Facebook/Selangorfc
Selain penyerang berbisa The Red Giants itu, penolong ketua jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote juga difahamkan tidak akan bersama Tan Cheng Hoe untuk musim depan.
Dalam pada itu, antara nama yang menjadi sebutan para penyokong setia Merah Kuning untuk menggantikan tugas Marcote ialah pengendali Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar dan jurulatih sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Nama Hairuddin Omar atau mesra dengan panggilan Hai-O itu menjadi sebutan penyokong tanah air selepas kecemerlangannya membimbing pasukan TFC II menjadi juara sulung Piala MFL 2023 hasil jaringan tunggal Isa Raman minit akhir sekali gus menewaskan Johor Darul Takzim II (JDT II).
Cerita yang seakan sama juga di bumi Penang FC apabila Akmal Rizal berjaya membuat perubahan selepas mengutip empat mata dalam dua perlawanan Liga Super 2023 ketika menang menentang Sri Pahang FC dan seri berdepan Terengganu FC.
Untuk rekod, Marcote merupakan pembantu Cheng Hoe ketika menabur bakti bersama Kedah FC (kini KDA FC) dari tahun 2014 hingga 2015.
Lebih menarik lagi, gandingan kedua-dua individu itu berjaya membawa Selangor melayakkan diri ke ACL2 selepas muncul naib juara Liga Super 2023.
Suka atau tidak, kehilangan beberapa individu penting itu pastinya akan merencatkan perancangan semasa Cheng Hoe untuk musim depan.
Cuma ibarat kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram