SIAPA sangka pasukan kerdil dari Asia Tenggara, Malaysia menjadi antara pasukan yang dianggap perlu diberi perhatian oleh legenda bola sepak Korea Selatan, Koo Ja-cheol bagi saingan Piala Asia Qatar nanti.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun tahun layak secara merit ke kejohanan tertinggi Asia itu sememangnya membawa keterujaan kepada penyokong tanah air lagi-lagi dengan prestasi cemerlang Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Sejak berada di bawah didikan pengendali dari Korea Selatan itu, Malaysia melalui transformasi berbeza dengan menyaksikan skuad kebangsaan naik 15 anak tangga dalam ranking dunia sepanjang tahun 2023 untuk berada di kedudukan ke-130.
Oleh itu, tidak terkejutlah jika bekas pemain FC Augsburg itu menjadi antara individu berpengaruh yang teruja untuk menyaksikan kemunculan semula skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia nanti.
BACA LAGI: Piala Asia: Satu perlawanan sudah cukup, tegas legenda penyerang kebangsaan
Malaysia akan membuka kempen Piala Asia menentang Jordan pada 16 Januari. — Facebook/FAM
"Saya fikir memperluaskan Piala Asia kepada 24 pasukan telah menjadikan pertandingan ini amat menarik. Ia telah membolehkan kami melihat persaingan antara pelbagai negara di seluruh Asia.
"Sejujurnya, semua kumpulan kelihatan sangat menarik dan beberapa pasukan membuat kemunculan semula. Saya tidak sabar untuk melihat perlawanan berlangsung terutama dalam saingan Kumpulan E membabitkan Korea Selatan.
"Lebih-lebih lagi, saya teruja untuk melihat beberapa pasukan seperti Malaysia dan Hong Kong selain China yang terkenal dengan peminat mereka yang sangat bersemangat," katanya memetik laporan laman rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Skuad kendalian Pan-gon itu akan membuka kempen Kumpulan E dengan Jordan pada 16 Januari sebelum menerima tentangan daripada Bahrain (20 Januari) dan ditutup dengan perlawanan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.
Heung-min (tengah) akan mengetuai skuad Korea Selatan. — Agensi
Dalam perkembangan berbeza, penjaring terbanyak Piala Asia 2011 itu berharap agar negaranya bakal menjulang trofi Piala Asia Qatar susulan kali terakhir skuad Taegeuk Warriors menjuarai Piala Asia ialah pada tahun 1960.
"Kita ada kapten yang luar biasa (Son Heung-min) dan saya mahu lihat dia angkat trofi Piala Asia. Dia adalah legenda dalam kalangan legenda di Korea Selatan dan dia bakal membawa kegembiraan kepada penyokong.
"Pemain lain seperti Kim Min-jae beraksi dengan baik di Bayern Munich. Saya juga teruja dengan kehadiran Lee Jae-sun (Mainz) dan Lee Kang-in. Anda boleh melihat bahawa begitu ramai pemain bertaraf dunia dalam pasukan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram