SEGELINTIR ibu bapa meluahkan kebimbangan berkenaan kualiti makanan yang disediakan di kantin sekolah ekoran daripada kenaikan harga barang.
Keadaan itu berlaku ekoran pengusaha kantin sekolah mungkin mengurangkan kuantiti makanan setiap hidangan bagi menampung peningkatan kos bahan mentah pada ketika ini.
Pada masa sama, ia dilihat ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan pelajar ekoran tidak mendapat khasiat secukupnya.
Melalui tinjauan Majoriti di media sosial, rata-rata ibu bapa dan penjaga meminta Kementerian Pendidikan (KPM) turut memantau kualiti makanan yang disediakan untuk pelajar.
Rina Alina berpendapat pihak KPM seharusnya perlu tegas dalam melihat isu kualiti dan harga makanan di kantin.
"Kalau harga masih sama namun kualiti teruk serta tiada zat pun tak berguna.
"Perlu diingatkan, pelajar memerlukan makanan yang berkualiti. Kadang-kadang risau nak bagi anak makan di kantin sebab kita tak tahu sumber makanan itu dari mana," tulisnya.
Pemakanan seimbang sangat penting terutama bagi pelajar sekolah kerana dengan makanan yang sihat, ia dapat menyokong pertumbuhan serta perkembangan mereka. — Gambar Hiasan
BACA LAGI : [VIDEO] Anggota JPJ cedera makan penumbuk kelindan lori baran
Seorang warga maya, Salleh Mahmood turut meluahkan rasa yang sama.
"Harga tidak mungkin akan naik, tapi 'portion' makanan dikurangkan. Contohnya 'mi bodo' selalu RM2 boleh suap lima sudu biasa tetapi sekarang hanya dua suap sahaja. Kalau tak cukup beli lagi.
"Yang jadi mangsa murid. Penyelesaian mudah bagi orang berduit, bawa bekal sendiri," tulisnya.
Sementara itu, Kulu Kili turut berasakan kualiti makanan yang disediakan tidak sesuai dengan pelajar.
"Jujur cakap, harga murah tetapi kualiti dan kuantiti sangat menyedihkan. Rasa mi dalam plastik sangat teruk," luahnya.
Terdahulu, KPM meminta kepada semua ibu bapa untuk membuat laporan sekiranya berlaku kenaikan harga makanan di kantin sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, pihak KPM menerima rungutan daripada ibu bapa mengatakan harga makanan di kantin sekolah tidak sama seperti dahulu.
Tegasnya, pihak sekolah perlu segera memantau jika berlaku kenaikan harga seperti didakwa untuk KPM mengambil tindakan sewajarnya.
“Pengurusan kantin melibatkan sekolah, jadi mereka ada hak untuk membuat pemantauan terhadap harga makanan.
“Ibu bapa boleh membuat aduan terus kepada kementerian,” katanya.
Fadhlina turut meminta pengusaha kantin sekolah merujuk garis panduan yang ditetapkan oleh KPM berhubung isu kenaikan harga makanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram