SEORANG lelaki maut manakala seorang lagi masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan kuari di Spring Energy Tanjung Kuari dekat Bandar Saujana Putra, Selangor pada Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 4.54 petang.
“Kami menghantar sebuah jentera bomba, sebuah kenderaan penyelamat serta sembilan anggota ke kejadian di Spring Energy Tanjung Kuari, Jalan SP 2, Bandar Saujana Putra.
“Setibanya di tempat kejadian, anggota yang bertugas mendapati dua lelaki tertimbus pada kedalaman sekurang-kurangnya 1.2 meter,” katanya ketika dihubungi Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Anggota JPJ cedera makan penumbuk kelindan lori baran
Beliau berkata, seorang daripada mangsa telah digali dan dihantar ke hospital sementara usaha mengesan mangsa lain sedang dijalankan.
“Kedua-dua lelaki itu dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 30-an.
“Mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.
"Kerja-kerja menyelamat pada ketika ini sedang giat dijalankan,” katanya. — The Star/AUSTIN CAMOENS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram