[VIDEO] Kon dialih orang awam punca seorang maut, 2 cedera motosikal terbabas dalam lubang di Melaka


  • 112
  • Khamis, 04 Jan 2024

Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa dalam kemalangan di Jalan Bukit Katil, Melaka pada Khamis. — Facebook

SESUNGGUHNYA ajal tak mengenal waktu. Seorang pemuda maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal ditunggangi masing-masing terbabas ke dalam lubang yang sedang dibaiki di Jalan Bukit Katil, Melaka pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu menyebabkan Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Chong Min Yang, 57, dan Mohd Zaim Bahrin, 31, cedera.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga motosikal terbabit dari arah persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil menghala ke persimpangan lampu isyarat Hospital Pantai.

"Apabila tiba di lokasi kemalangan, didapati motosikal ditunggangi mereka telah masuk ke laluan yang telah ditutup dengan kon oleh syarikat kontraktor tetapi dipercayai dibuka oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI : Masalah kewangan punca tikam mati majikan di Taman Rasi Jaya, pekerja ada 4 rekod jenayah

Christopher berkata, berikutan itu, kesemua mangsa dikatakan tidak nampak kerja-kerja pembaikan di lokasi kemalangan lalu terbabas masuk ke dalam lubang yang sedang dibaiki berkenaan.

Beliau berkata, Chong mengalami luka di kaki kiri dan kanan manakala Mohd Zaim luka di kepala dan patah kaki kiri.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Riduan Ahmad berkata, sepasukan pegawai serta anggota bomba digegaskan ke lokasi untuk bantuan menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.49 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram