MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila dengan sengaja menayang kertas undi beliau kepada petugas media.
Tindakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mengejutkan para wartawan yang membuat liputan di pusat pengundian di SK Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang, pada pukul 11 pagi, Sabtu (12 Ogos), menurut Sin Chew Daily.
Berdasarkan gambar yang dilampirkan jelas menunjukkan Muhammad Sanusi, menunjukkan pilihan beliau di atas kertas undi itu, sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.
Semakan ke atas akta berkaitan mendapati ia merupakan satu kesalahan di bawah Perkara (39), yang menyebut - tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.
Sanusi (berbaju putih) dan isterinya hadir mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya pada Sabtu. — Bernama
Akta tersebut selanjutnya menyebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga calon PN DUN Jeneri ditemani isteri, Puan Sri Jusmalailani Jusoh hadir mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada Sabtu.
Untuk rekod, kejadian serupa pernah berlaku sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Besut pada 2013, apabila calon BN ketika itu, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman melakukan perbuatan yang serupa, dan ditegur oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. — The Star/ Tan Sin Chow
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram