SABTU lalu, Sri Pahang FC menjadi pasukan Liga Super terbaru yang mengumumkan mereka sudah melepaskan kira-kira 10 pemain untuk saingan musim depan.
Berdasarkan senarai tersebut, lima daripada mereka merupakan pemain tempatan yang dilihat kurang memberikan impak berikutan kekurangan minit permainan sepanjang berada di bawah kendalian Fandi Ahmad.
Salah seorang daripadanya ialah penyerang sayap, Malik Mat Ariff yang merekodkan 12 penampilan Liga Super dengan hanya satu sumbangan gol dicatatkannya.
Kekurangan peluangnya untuk diturunkan dilihat berpunca akibat kecederaan dialaminya sejak awal Jun dengan dia tidak lagi beraksi sejak aksi berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Jadi, minit permainannya yang terhad menyaksikan pemain berusia 32 tahun berkenaan dilepaskan dalam usaha skuad Tok Gajah memperkuatkan pasukan untuk Liga Super 2024/25.
Malik (bawah, dua dari kanan) dilepaskan skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, keputusan mengejutkan kemudiannya dibuat Malik apabila dia pada Isnin mengumumkan persaraannya beberapa hari setelah meninggalkan pasukan Pantai Timur terbabit.
Perkara itu dilaporkan media tempatan akibat kecederaan buku lali dialaminya di samping mahu membantu pembangunan bola sepak, terutamanya di Kuantan, Pahang.
Pilihan terbabit sememangnya memberi impak terhadap penyokong bola sepak tempatan apabila dia pernah mewakili beberapa kelab Liga Super, terutamanya Sri Pahang FC.
"Dia ialah salah seorang pemain Tok Gajah yang aku minat. Kalau tak kerana kecederaan, dia memang boleh pergi jauh. Selamat bersara," ujar Ruhan Mirdani Arif.
"Awal musim lalu nampak hebat juga dia bermain. Tetapi, selepas alami masalah kecergasan, terus hilang dia. Selamat bersara Malik, pemain paling merendah diri," kata Noor Hafezul Amin Arifin.
Malik beraksi untuk beberapa musim di negeri kelahirannya buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Baca Lagi: Bukan sahaja JDT, Sri Pahang turut dianggap mahu berjimat tapi 2 'lord' masih kekal
"Selamat bersara, mungkin dia boleh selesaikan masalah kesihatannya yang mengganggu prestasi. Mungkin boleh ambil profesion kejurulatihan selepas ini," kata Mohd Nizam.
Sepanjang kariernya, Malik lebih banyak menghabiskan masa bersama skuad Tok Gajah dengan statusnya sebagai anak jati Kuantan, Pahang menyaksikannya mempunyai tempat istimewa dalam kalangan penyokong.
Kehadirannya juga pernah membantu Pahang FA meraih pelbagai kejuaraan termasuk dua gelaran Piala Malaysia dan satu Piala FA 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram