Bukan saja Kelantan, Selangor juga ada sejarah hampir dihalang sertai Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 27 Dis 2023

Selangor FA dan Kelantan FC merupakan dua pasukan yang bergelut dengan isu pengurusan pada 2016.

ISU kewangan kelab dalam Liga Super sememangnya perkara yang tidak pernah lekang saban tahun dengan masalah terbabit masih berlaku ketika ini.

Antara pasukan yang terjejas teruk dengan kemelut berkenaan ialah Kelantan FC yang difahamkan masih belum menerima lesen untuk beraksi di divisyen teratas bola sepak musim depan.

Meskipun sudah menghantar dokumen seperti mana diarahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), semakan masih perlu dibuat untuk melihat sekiranya kelab Pantai Timur berkenaan sudah menyelesaikan tunggakan gaji.

Masalah yang difahamkan dialami sejak pertengahan tahun lagi itu sememangnya sukar diterima penyokong skuad The Red Warriors (TRW) yang hanya mampu mengharapkan perkara terbaik buat kelab tersebut.

Bagaimanapun, ia bukanlah kali pertama Kelantan FC berdepan situasi sedemikian apabila lapan tahun lalu, mereka juga disekat untuk beraksi dalam Liga Super.

2101284

Kelantan FC berdepan isu gaji dengan pemain dilaporkan tidak menerima bayaran untuk beberapa bulan. Facebook/TRW Kelantan FC

Selepas menamatkan saingan di tangga keenam, pihak pengurusan skuad TRW gagal membuat permohonan lesen untuk beraksi di musim berikutnya pada tarikh ditetapkan.

Hal itu berpunca daripada keengganan mereka untuk menghantar penyata cukai pendapatan kelab selain pengesahan bahawa isu tunggakan gaji sudah diselesaikan.

Namun, Kelantan FC tidak berseorangan ketika itu apabila dua lagi kelab iaitu Selangor FA dan Perlis FA yang juga tidak membuat penghantaran dokumen seperti mana diarahkan MFL.

Skuad Gergasi Merah pada tahun tersebut mengharapkan dana sepenuhnya daripada kerajaan negeri dengan langkah itu sukar untuk mengorak langkah dalam dunia bola sepak moden.

Meskipun menamatkan saingan Liga Super 2016 di tangga kelima, kelab Lembah Klang berkenaan berdepan pelbagai masalah dalaman sehingga pemain dilaporkan tidak menerima gaji pada tarikh ditetapkan.

Bagi Perlis FA pula, mereka yang beraksi dalam Liga Perdana turut gagal mendapatkan lesen kebangsaan berikutan isu kewangan dialami kelab Utara tanah air berkenaan.

perlisy.transformed

Perlis FA merupakan sebuah lagi pasukan yang bergelut kira-kira tujuh tahun lalu.

Isu tersebut kemudiannya menerima jalan penyelesaian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ketika itu, Kevin Ramalingam memberikan 'talian hayat' buat mereka.

Ketiga-tiga pasukan terbabit diberikan tempoh seminggu untuk melengkapkan penghantaran dokumen dengan masing-masing berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Malaysia musim berikutnya.

Kini, hanya Selangor FC yang dilihat sudah mengorak langkah baharu apabila pasukan terbabit dilaporkan tidak lagi mengalami isu terbabit setelah kehadiran Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah membawa perubahan terhadap kelab itu.

Bagi Kelantan FC pula, harapan mereka untuk beraksi dalam Liga Super 2024/25 boleh dianggap masih samar dengan MFL belum mengeluarkan sebarang kata putus.

Perlis FA bagaimanapun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan bola sepak tanah air pada 2019 setelah ketiadaan penaja membuatkan mereka terpaksa menarik diri sepenuhnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram