KETERUJAAN pastinya semakin memuncak dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air apabila hanya berbaki 14 hari sebelum aksi Piala Asia 2023 dimulakan.
Setelah menunggu 42 tahun untuk layak secara merit, skuad kebangsaan kini dilihat berada di tahap terbaik dengan prestasi memberangsangkan selain kualiti pemain dimiliki.
Bagaimanapun, cabaran sukar menanti anak-anak buah Kim Pan-gon apabila mereka diundi dalam Kumpulan E mengandungi Jordan, Bahrain dan juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan.
Pengalaman pasukan berkenaan dalam pertandingan tersebut pastinya akan menjadi satu kelebihan buat mereka dalam pertandingan diadakan di Doha, Qatar itu nanti.
Di samping itu, kedudukan masing-masing dalam ranking FIFA juga menghidangkan cabaran getir dalam harapan pasukan negara melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Zainal Abidin memuji perubahan yang dibawa Pan-gon buat skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Namun, bagi legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan, kualiti semasa dimiliki Harimau Malaya membuka peluang buat mereka membawa pulang mata berharga ketika berdepan Jordan dan Bahrain.
"Kita tidak tewas dengan jurang skor besar kepada Bahrain dan Tajikistan dan kekalahan itu dialami sebelum Pan-gon mempunyai masa untuk memperkuatkan pasukan. Jordan juga saya lihat tidak banyak beza dengan Tajikistan.
"Skuad kebangsaan juga pernah ketinggalan ketika berdepan Kyrgyzstan, namun mereka berjaya bangkit. Jika pasukan ini mampu meneruskan prestasi itu dalam Piala Asia, saya yakin kita mampu tewaskan Jordan," katanya.
Pasukan kendalian Pan-gon akan memulakan aksi berdepan Jordan pada 15 Januari di Stadium Al Janoub sebelum berdepan Bahrain lima hari kemudian di Stadium Jassim bin Hamad.
Dalam pada itu, Zainal Abidin turut memuji keputusan untuk memanggil penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales yang baru sahaja diberikan status naturalisasi.
Baginya, kehadiran pemain kelahiran Colombia itu akan memperkuatkan jentera serangan Harimau Malaya dengan posisi penyerang kini hanya mampu diisi Darren Lok. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
