Lelaki tawar RM5,000 kepada pemilik dashcam, rakyat cadang lancar tabung bantu kes Muhammad Zaharif


  • Tular
  • Rabu, 20 Dis 2023

Tangkap layar warganet menawarkan ganjaran wang tunai kepada pemilik dashcam membantu keluarga mangsa terkorban, Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

TRAGEDI malang menimpa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkorban dalam kemalangan di Ipoh, Perak baru-baru ini nyata meningglkan kesan mendalam buat masyarakat negara.

Sehingga kini, kes itu masih belum menerima sebarang kata putus dari pihak berkuasa susulan kenyataan keluarga mangsa yang mendakwa, remaja terbabit dirempuh pegawai kanan polis akibat bunyi bising dari ekzos motosikalnya.

Bersimpati atas kejadian itu, seorang lelaki di media sosial tampil menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000 kepada mana-mana saksi yang memiliki rakaman dashcam kejadian bagi membuktikan pelaku benar-benar bersalah.

Menerusi hantaran di Facebook, individu dikenali sebagai Fahmi Huzairi itu berkata, dia bersedia memberikan wang tunai tersebut kepada pemilik yang mempunyai rakaman tersebut.

"Jika ada rekod video melalui dashcam kereta anda yang jelas membuktikan ini adalah perbuatan bunuh, sila serahkan rakaman itu kepada keluarga mangsa.

"Selepas itu, jika keluarga dan pihak peguam mangsa mengesahkan video anda membantu proses menegakkan keadilan di mahkamah, minta keluarga atau wakil peguam mereka menghubungi saya untuk tuntut ganjaran RM5,000.

"Bagi yang mengenali keluarga mangsa, minta mereka menghubungi saya jika tawaran ganjaran ini membantu keluarga mangsa melancarkan proses ini, bantu saya sebarkan sehingga keadilan tertegak," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Hantaran dimuat naik di laman Facebook berhubung ganjaran RM5,000 buat pemilik dashcam kejadian kemalangan di Ipoh, Perak.

Dalam pada itu, tindakan tersebut meraih sokongan ramai dengan masyarakat rata-ratanya mencadangkan agar satu tabung khas ditubuhkan bagi membantu keluarga mangsa, Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mendapatkan keadilan sewajarnya.

Beberapa warganet turut ingin menghulurkan bantuan wang kepada individu lelaki itu sebagai ganjaran kepada pemilik yang tampil mengemukakan bukti pelaku dalam kemalangan terbabit.

"Saya tambah lagi RM500, tolong hubungi saya untuk kita jumlahkan ganjaran kepada yang layak mengikut spesifikasi yang tuan tetapkan, harap usaha ini dapat menggalakkan lagi saksi yang ada bukti untuk tampil membantu," kata Abdul Rashid.

"Saya tambah tak banyak, RM100 boleh, tapi sebarkan dulu video sebelum diserahkan kepada sesiapa," ujar Joane Johncer.

"Kalau buat tabung untuk kumpul RM5,000 bagitahu, nak salur juga, rakyat kena sama-sama bersuara," jelas Ciksuhaida Safwan.

"Buka tabung bang, ramai nak tambah ganjaran duit termasuk saya, bukti ini penting untuk kita sama-sama bantu keluarga arwah dan pastikan suspek terima hukuman yang sepatutnya," tambah Wan Baha.

Untuk rekod, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian mangsa pada Jumaat lepas dan Majistret menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan serta laporan kimia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram