[VIDEO] Wanita maut ditetak dipercayai angkara kes cemburu di Butterworth


  • 112
  • Selasa, 19 Dis 2023

Tangkap layar kes kematian membabitkan seorang wanita yang maut ditetak suspek lelaki di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang.

WANITA maut ditetak lelaki di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa dipercayai berpunca akibat kes cemburu.

Mangsa yang merupakan penjual pakaian berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah koleh orang awam sebelum hal itu dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditetak suspek lelaki berusia 29 tahun menggunakan parang sebelum dia bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa yang parah itu kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pukul 11.58 pagi.

“Pegawai penyiasat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis serta pihak forensik telah pergi ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Siasatan di lokasi membawa kepada penemuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran serta saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Turut ditemui parang dipercayai digunakan suspek yang juga operator kilang dalam kes tersebut.

Tambahnya, gerakan memburu suspek dijalankan sebelum sepasukan polis daripada Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Suspek dikatakan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah tersebut namun berjaya diselamatkan nelayan.

“Suspek kini ditahan di Hospital Pulau Pinang susulan menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nasrina Darus di talian 04 576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan suspek telah berjaya ditahan polis selepas dia terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang ketika melarikan diri selepas melakukan jenayah tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.23 pagi memaklumkan ada individu terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerahkan ke lokasi dan sejurus tiba pihaknya menemukan sebuah motosikal jenis SYM dipercayai milik suspek ditinggalkan di bahu jalan di jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, semakan mendapati lelaki itu telah diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan terbabit sebelum kes diserahkan kepada pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram