KES kemalangan membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang maut dirempuh pegawai kanan polis di Ipoh, Perak baru-baru ini masih hangat diperkatakan masyarakat ramai.
Insiden yang didakwa berpunca akibat bunyi bising dari ekzos motosikal remaja itu disifatkan sebagai perkara tidak wajar dan kejam selepas Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dilaporkan meninggal akibat rempuhan polis berkenaan.
Turut terkesan dengan perkara itu, seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mengulas lanjut hal itu menerusi rakaman video tular di laman Facebook.
Jelasnya, isu ekzos bising merupakan perkara biasa dilaluinya sebagai anggota penguat kuasa namun ia bukanlah tiket untuk mereka dihukum dengan perbuatan bunuh.
"Hampir setiap hari apabila saya meronda akan jumpa dengan penunggang motosikal yang menggunakan ekzos bising, menunjukkan jari tengah dan cuba mencetuskan provokasi.
"Sepanjang saya bekerja dan meronda, pelbagai perangai mat rempit saya jumpa, yang tunjuk jari tengah, yang ‘rem’ ekzos, budak-budak nakal biasalah, takkan kita tak boleh kawal diri kita.
"Kawal diri, saya sendiri pernah dilanggar oleh seorang budak bermotosikal, saya tak ada pun nak sebat atau langgar semula budak itu. Ini ada sesetengah anggota beruniform sengaja pergi langgar.
"Budak motor ni, kita langgar dia pun dia sakit, dia langgar kita pun dia sakit. Jadi tolonglah sahabat-sahabat uniform semua janganlah perangai macam ini, kalau kena dekat anak aku, memang aku cari kau sampai lubang cacing," katanya.
Mengulas lanjut hal itu, anggota terbabit turut mengecam perbuatan pelaku yang mendakwa terlanggar mangsa dan melarikan diri selepas kejadian itu.
Katanya, sebagai anggota polis, pihak berkenaan sepatutnya bertanggungjawab dan mempunyai belas ihsan apabila berlaku sesuatu perkara melibatkan kemalangan.
"Kalau kata kau terlanggar sekali pun, tolonglah turun bantu mangsa, pangkat kita ini sampai bila kita nak bawa, bila pencen kita buka uniform dah jadi orang biasa. Kita diberikan amanah, jaga amanah itu," katanya.
Untuk rekod, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian mangsa di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, Ipoh pada Jumaat lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun atau dikenakan 12 sebatan.
Majistret menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan dan laporan kimia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram