[VIDEO] Askar Zionis terus mengganas, lempar gas pemedih mata di kem pelarian Gaza


  • Benua
  • Rabu, 20 Dis 2023

Tangkap layar askar Zionis membaling gas pemedih mata di sebuah kedai dekat kem pelarian Al Fawar, Palestin.

KONFLIK peperangan yang melanda Semenanjung Gaza berlarutan apabila rakyat Palestin terus diserang dan diancam dari segi keselamatan dan kes kematian yang semakin meningkat hari demi hari.

Terbaharu, sebuah kedai di kem pelarian Al Fawar telah diserang dengan gas pemedih mata apabila askar Zionis dirakam sengaja membaling bom tersebut.

Kejadian yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan tiga individu lelaki yang dipercayai ingin mengancam keselamatan warga Palestin yang berada di dalam premis berkenaan.

Asap tebal mula meliputi ruang dalam kedai terbabit yang sekaligus mengundang kekecohan ketika kejadian.

Video berdurasi 48 saat itu kemudiannya tular dan hangat diperkatakan di laman Twitter sejak Selasa.

Dalam pada itu, belum ada sebarang laporan kecederaan berhubung serangan tersebut dan pelaku juga dilihat terus melarikan diri selepas melakukan perbuatan keji itu.

Terbaharu, rakyat Israel dikejutkan dengan insiden pembunuhan tiga tebusan warga Palestin oleh tentera Zionis pada Isnin.

Menurut pengarah awam dari kumpulan hak asasi manusia Israel, Roy Yellin menganggap ia sebagai kejadian menyayat hati membabitkan tahanan yang ditembak mati meskipun telah menyerah diri.

"Ia menyedihkan tetapi tidak menghairankan, kami telah mendokumenkan maklumat selama bertahun-tahun berkaitan kes individu ditembak meskipun telah menyerah diri," katanya.

Yellin berkata, pembunuhan itu melanggar etika asas ketenteraan dan undang-undang antarabangsa yang melarang menembak orang yang cuba menyerah diri.

Namun, dia berpendapat bahawa ia adalah sebahagian daripada kekerasan yang sebahagian besarnya tidak dihukum dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan telah menjerat rakyat Israel sendiri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram