Terlepas gelaran 'top scorer', sifat tamak antara kelemahan ketara 'budak nakal' JDT


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

Bergson da Silva gagal mengekalkan kedudukan selaku penjaring terbanyak Liga Super Malaysia musim ini.

SELEPAS gagal mengekalkan kedudukan sebagai penjaring terbanyak Liga Super Malaysia pada musim ini, peledak utama Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva mula menerima pelbagai kritikan daripada penyokong setia pasukan tersebut.

Meskipun masih cemerlang dengan menduduki tangga kedua penjaring terbanyak di bawah import Selangor FC, Ayron del Valle, situasi itu sukar diterima peminat yang nyata kecewa dengan penurunan prestasi dipamerkan bintang terkenal dengan perwatakan 'budak nakal' itu.

Beberapa andaian mula memenuhi ruang media sosial berhubung faktor kejatuhan penyerang kelahiran Brazil berkenaan dan antara yang paling ketara adalah rembatannya yang dikatakan semakin mudah tersasar dan tidak tepat menemui sasaran.

Sering tampil dengan skil dan percubaan menarik dari luar kotak penalti, namun sepakan yang sepatutnya menerjah ke gawang lawan dilihat semakin tersasar dan sukar menewaskan penjaga gol seperti yang ditunjukkan pada musim lalu.

Ledakan melewati palang dan mengenai tiang gol kerap dialami Bergson dan ia sekali gus mendatangkan kerugian kepada barisan pemain Harimau Selatan yang berhempas pulas memberikan hantaran cantik kepadanya.

Selain itu, berikut merupakan antara poin yang dibangkitkan fans JDT terhadap persembahan Bergson musim ini:

Serangan psikologi melampau

Sikap 'nakal' Bergson yang gemar melakukan serangan psikologi terhadap lawan dilihat agak berlebihan sehingga mencetuskan perbalahan antara pasukan.

Malah, lebih teruk apabila dia gagal untuk menyerap tekanan yang diterima selepas dikecam penonton di stadium dan terus mempamerkan aksi longlai ketika melakukan rembatan.

Lakonan yang melampau ketika dikasari semata-mata ingin mendapatkan sepakan penalti turut mengundang rasa jelik dalam kalangan penyokong selepas kelakuan itu kerap berulang dalam setiap perlawanan.

Antara perang psikologi pernah dilakukan Bergson dalam perlawanan liga musim lalu.

Tamak depan gol

Keinginan yang tinggi untuk menjaringkan gol adakalanya menyerlahkan sifat tamak Bergson yang enggan membuat hantaran dan terus merembat ke gawang lawan.

Namun, ia mendatangkan kerugian bukan sahaja kepada pemain itu, malah seluruh pasukan JDT juga terpaksa berputih mata apabila ledakannya tersasar dek sifat tamak dipamerkan.

Peluang gol yang sepatutnya boleh tercipta menerusi hantaran ke rakan sepasukan lebih gemar dilakukan secara solo dan akibatnya, jaringan yang dinantikan gagal dijelmakan oleh penyerang import tersebut.

Skil gelecek yang lemah

Kelebihan Bergson dikatakan hanya tertumpu kepada rembatan deras dimiliki dengan selain itu, dia masih mempunyai ruang kelemahan yang perlu diperbaiki.

Skil gelecek dan kawalan bola lemah antara perkara penting yang perlu diperbaiki pemain tersebut selepas lariannya kerap dipatahkan pertahanan lawan yang seperti sudah boleh membaca pergerakannya.

d215bb6b9770002e4e639951efbbc8d0

Bergson da Silva lebih gemar merembat bola dari luar kotak penalti. — Facebook/JDT

Posisinya yang sering diletakkan di bahagian serangan hadapan, membuatkan Bergson hanya menunggu bola dan peluang keemasan untuk menerjah ke gawang lawan.

Walhal, ciri penyerang terbaik sepatutnya merangkumi segala aspek dari segi kawalan bola kemas, kerjasama rakan sepasukan dan ledakan yang gagal ditepis penjaga gol lawan.

Cuma pada masa sama, bukan yang negatif saja dipamerkan penyerang itu. Tidak keterlaluan, ramai yang menyifatkan Bergson sebagai calon penyerang naturalisasi terbaik selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram