Wanita, antara 3 individu ditahan bantu siasatan kes tikam warga emas di George Town


  • 112
  • Rabu, 06 Dis 2023

Seorang lelaki warga emas maut ditikam sebanyak 27 kali dengan menggunakan senjata pisau di tempat letak kereta sebuah apartment dekat Jalan Perak, George Town pada Selasa. — Facebook/Orang Awam

POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian lelaki warga emas maut ditikam sebanyak 27 kali di seluruh badan dalam kejadian di kawasan parkir sebuah apartmen di Jalan Perak, George Town, Pulau Pinang pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V.Saravanan berkata, tiga individu berusia 29 hingga 42 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Jelutong, Pulau Pinang kira-kira pukul 7.30 malam Selasa.

"Tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu adalah kawan rapat kepada lelaki warga emas yang maut dalam insiden tikaman tersebut.

"Motif siasatan masih dijalankan dan ketiga-tiga individu itu kini direman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut," katanya pada Rabu.

Saravanan berkata, siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan beliau turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu agar menghubungi pihak polis.

Dalam kejadian pukul 6.18 petang itu, mangsa berusia 60-an yang merupakan peniaga kedai nasi ekonomi ditikam bertubi-tubi pada seluruh badan terutama di leher dan dada sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai dua lelaki yang menaiki motosikal ke tempat kejadian dan polis menolak insiden itu sebagai samun kerana barangan berharga termasuk duit masih bersama mangsa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram