TINDAKAN seorang pemandu kereta jenis Viva yang didakwa sengaja menoreh dan merosakkan tayar kenderaan di ruang parkir pasar raya dekat Triang, Bera, Pahang pada Sabtu mengundang kecaman warganet.
Selain menyebabkan kerosakan tayar, individu terbabit juga dikatakan telah memancitkan beberapa buah kereta di situ selain terdapat kesan torehan pada tepi tayar dipercayai menggunakan objek tajam.
Kejadian yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu tular di laman media namun identiti mangsa gagal dikenal pasti setakat ini.
Salah seorang mangsa yang memandu kereta jenis SUV difahamkan telah membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung hal itu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa mengesahkan bahawa dia tidak mempunyai musuh dengan sesiapa dan tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak pinjaman wang selain daripada bank.
"Kenderaan tersebut didaftarkan atas nama suaminya dan ia digunakan secara bersama oleh pengadu dan suami.
"Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan khianat ke atas tayar kenderaan tersebut dengan cara mencucuk menggunakan objek tajam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Zulkiflee, selain mangsa, dua lagi laporan polis diterima pihaknya membabitkan kejadian dan lokasi sama dan satu lagi di sebuah lokasi berlainan di kawasan dobi di Triang Sentral pada hari yang sama.
"Kita sedang cuba mengesan suspek yang menaiki kereta Viva dipercayai melakukan perbuatan khianat tersebut.
"Rakaman kamera CCTV di pasar raya terbabit tidak jelas dan sedang mencuba mendapatkan video dari premis lain," ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram