SEORANG remaja lelaki maut dalam satu insiden kemalangan langgar lari membabitkan pemandu dipercayai mabuk di Jalan Tambirat, Kuching, Sarawak pada Isnin.
Kejadian itu didakwa berpunca akibat kecuaian pemandu yang gagal mengawal kelajuan dan melanggar remaja terbabit hingga terkulai di bahu laluan tersebut.
Berita kematian itu disahkan oleh mak cik saudara mangsa apabila memuat naik hantaran takziah di laman Facebook peribadinya.
Jelasnya, dia sangat terkejut sebaik dimaklumkan hal tersebut dan meminta doa orang ramai berhubung kematian anak saudaranya itu.
"Terkejut dengar anak buahku kemalangan langgar lari pemandu mabuk.
"Semoga dipermudahkan urusanNya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh," kata Milla Zarina.
Rakaman tular memaparkan detik kejadian itu meraih perhatian warganet di laman media sejak Isnin.
Video berdurasi 40 saat itu merupakan situasi selepas daripada kemalangan itu berlaku dan difahamkan, mangsa dibantu orang awam sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Walau bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden berkenaan setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau memiliki rakaman dashcam kejadian, diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram