Pemain 'tak cukup inci' dilepaskan, nama Hidalgo dalam 'senarai bocor' Pahang


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Hidalgo merupakan antara import yang sememangnya dialu-alukan untuk pulang menyertai skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC

BEBERAPA pasukan Liga Super ketika ini difahamkan sedang bersedia untuk membuat penilaian akhir sebelum memulakan saingan musim depan.

Antara perubahan yang semestinya diambil adalah dengan menyenaraikan pemain mengikut kesesuaian taktikal pengendali masing-masing.

Meskipun keputusan akhir hanya boleh dibuat pihak pengurusan, adalah tidak salah sekiranya penyokong turut memberikan pandangan tersendiri di media sosial.

Cadangan tersebut dibuat berdasarkan pemerhatian dibuat terhadap pemain, termasuk import dan tempatan dalam menggalas tanggungjawab dalam posisi masing-masing.

Walaupun pandangan itu hanya bersifat subjektif, ia masih boleh dijadikan panduan buat pasukan tanah air untuk menentukan pasukan untuk musim 2024/25.

sRI-PAHA

Sri Pahang FC kini berada di tangga kelima Liga Super dengan hanya satu perlawanan berbaki. Facebook/Sri Pahang FC

Antara yang dilihat cukup lantang memberikan pandangan ialah penyokong Sri Pahang FC selepas menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

Mereka yang kini berada di tangga kelima Liga Super selepas 25 perlawanan berpeluang menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan teratas buat kali pertama sejak 2019.

Bagaimanapun, peminat setia skuad Tok Gajah pastinya beranggapan kedudukan tersebut masih boleh ditambah baik sekiranya rombakan besar-besaran dibuat pada jendela perpindahan akan datang.

Jadi, dalam memasang cita-cita tersebut, seorang pengguna Facebook, Arriez Eiz'One Syah memberi cadangan mengenai pemain import pasukan untuk musim depan.

Baginya, tiga nama yang wajar dikekalkan ialah dua pemain tengah, Kevin Ingreso dan Kuvondik Ruziev dengan pemain versetail, Stefano Brundo turut tersenarai.

ingreso

Harapan untuk menyaksikan Kevin Ingreso bersama skuad Tok Gajah musim depan tidak kesampaian. Facebook/Sri Pahang FC

Namun, cita-cita itu seperti tidak kesampaian apabila pada Jumaat, Ingreso mengumumkan pemergiannya daripada skuad Tok Gajah.

Berita tersebut pastinya melukakan hati penyokong pasukan dengan pemain kebangsaan Filipina berkenaan amat penting dalam posisinya.

Sementara itu, pengguna Facebook terbabit turut berbelah bahagi mengenai masa depan dua penyerang utama, Kpah Sherman dan Rafael Silva.

Meskipun Kpah merupakan penjaring terbanyak mereka, usianya yang sudah lanjut memberi kesangsian mengenai kebolehannya untuk meneruskan prestasi itu musim depan.

Bagi Rafael pula, tempoh yang diambilnya untuk mendapatkan rentak dianggap terlalu lama walaupun pemain dari Brazil itu mula membuktikan nilainya buat skuad Tok Gajah ketika ini.

WhatsApp Image 2023-12-03 at 20.37.41

Lucas Silva sudah tidak lagi milik skuad Tok Gajah ketika ini. Facebook/Sri Pahang FC

Cadangan turut diberikan mengenai beberapa pemain import yang tidak sewajarnya dikekalkan dengan penyerang, Lucas Silva diletakkan dalam kategori itu.

Dia yang bergelut dengan isu kecederaan sepanjang musim gagal menjaringkan sebarang gol buat skuad Tok Gajah dalam lima penampilan Liga Super.

Harapan berkenaan seperti didengari pihak pentadbiran kelab apabila baru-baru ini, pemain berusia 33 tahun itu dilihat sudah meninggalkan skuad kendalian Fandi Ahmad berkenaan.

Dua lagi pemain yang diletakkan dalam kategori tidak sepatutnya dikekalkan ialah Michael Glassock serta Sherzod Fayziev selepas gagal menampilkan persembahan secara konsisten.

daho_1642063100

Hidalgo (kanan) memilih untuk meninggalkan skuad Tok Gajah selepas dua musim menabur bakti. Facebook/Sri Pahang FC

Tidak cukup dengan itu, Arriez Eiz'One Syah turut mencadangkan dua bekas pemain yang perlu dibawa semula, Manuel Hidalgo dan Steven Rodriguez.

Kedua-dua pemain terbabit boleh dikatakan sebagai bintang utama skuad Tok Gajah musim lalu, namun gagal dikekalkan setelah menerima tawaran lumayan.

Hidalgo kini terus membuktikan nilainya dalam Liga Super bersama Kedah Darul Aman FC sementara 'Titi' Rodriguez kembali ke negara kelahirannya, Colombia.

Sekiranya kedua-dua pemain berkenaan dapat dibawa masuk, tiada alasan buat Sri Pahang FC kembali bersaing musim depan dengan mereka sudah merekodkan beberapa keputusan cemerlang sepanjang 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram