Magis YCL boleh bantu TBG tambah garam di luka The Rhinos


  • Podium
  • Ahad, 03 Dis 2023

Perak ada peluang untuk kalahkan Sabah di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad. — Facebook/Perak FC

PERTARUNGAN dalam fasa akhir Liga Super masih lagi memberikan cerita-cerita menarik buat setiap pasukan terlibat.

Pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC terlibat dalam perebutan ke Asia, kelab-kelab lain masih memburu tiga mata untuk memastikan mereka menamatkan saingan liga dalam kedudukan sebaik mungkin.

Begitu juga dengan Perak FC, mereka yang mula menunjukkan kebangkitan hasil pimpinan Yusri Che Lah mula menghasilkan keputusan-keputusan cemerlang.

Kini berdepan Sabah FC dalam perlawanan terakhir mereka di Stadium Perak, Ipoh untuk aksi liga musim ini, The Bos Gaurus mempunyai segala sebab untuk mendakap tiga mata.

Dalam analisis ringkas Majorti kali ini, kita akan mencongak peluang Perak untuk memperoleh tiga mata bertemu Sabah pada Ahad:

1. Peluang dapatkan nota cemerlang

Kebangkitan minit akhir Perak sejak beberapa bulan lalu telah menghidupkan harapan dalam kalangan penyokong mereka.

Gaya permainan yang semakin stabil sambil mencatatkan beberapa keputusan baik dalam Piala Malaysia dan Liga Super di laman sendiri membuatkan Perak berjaya menebus kekecewaan pada awal musim dek kerana prestasi tidak menentu.

Menentang Sabah pada aksi terakhir di laman sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Perak untuk mendapatkan tiga mata dan menamatkan musim dengan nota cemerlang.

Yusri telah mendapat kredit setimpal kerana berjaya membuatkan Perak menjadi pasukan yang tidak mudah untuk ditumbangkan. Lebih-lebih lagi bila di laman sendiri, The Bos Gaurus cukup ampuh bila beraksi.

405400703_358776456702736_524066304526567904_n

Luciano Guaycochea merupakan nadi utama Perak. — Facebook/Perak FC

2. Peluang menambah garam pada luka Badak

Perak mempunyai peluang untuk menambah luka pada Sabah selepas apa yang berlaku dalam saingan Piala Malaysia.

Yusri dan Perak mencipta kejutan sensasi apabila berjaya menolak Sabah keluar daripada Piala Malaysia selepas menang aksi peringkat suku akhir.

Kini, bakal bertemu buat kali terakhir musim 2023, Yusri boleh menjadi arkitek kepada satu lagi kekalahan Sabah kepada Perak.

Jika Sabah ditewaskan, pastinya Sri Pahang FC akan gembira kerana mereka dapat peluang untuk mendekatkan diri dengan skuad Badak sekali gus menghidupkan usaha mengejar tangga ketiga liga.

3. Magis Yusri jadi taruhan

Tidak dinafikan, Yusri adalah salah seorang jurulatih yang progresif dalam saingan Liga Super untuk 2023.

406883890_362386426341739_4790790714388226434_n

Yusri (kiri) berjaya mentransformasikan Perak menjadi pasukan kompetitif. — Facebook/Perak FC

Kepakarannya dalam menguruskan skuad didominasi pemain muda tidak boleh dinafikan. Yusri seorang pengendali yang mampu mengeluarkan potensi terbaik seseorang pemain.

Dia berjaya membuatkan Perak lebih berani untuk berdepan lawan lebih hebat. Perkara tersebut kelihatan apabila The Bos Gaurus berani untuk bermain taktikal menyerang tidak kira berdepan siapa pun baik Sabah, Johor Darul Takzim atau Selangor FC.

Magis Yusri sudah terbukti, dan ia akan muncul lagi apabila Perak berdepan Sabah nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram