Ingreso tinggalkan Sri Pahang, Liga Thailand jadi destinasi sasaran


  • Podium
  • Ahad, 03 Dis 2023

Ingreso dikatakan bakal berhijrah ke Thailand dan mewarnai saingan Thai League 1 pada tahun 2024.

PENYOKONG Sri Pahang FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bintang Filipina, Kevin Ingreso yang tidak lagi bersama skuad Tok Gajah.

Ini selepas kontrak pemain itu bersama Sri Pahang difahamkan sudah tamat bagi musim ini.

Perkara itu didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X pada Ahad.

Pada masa sama, perkhabaran itu turut disahkan Ingreso menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya pada Sabtu.

“Mengucapkan selamat tinggal bukan sesuatu yang mudah tetapi memorinya akan terus berkekalan. Terima kasih semua atas ucapan selamat tinggal penuh mesra.

"Saya harap kita dapat bertemu antara satu sama lain satu hari nanti! Ia satu tempoh yang bagus! Terima kasih Sri Pahang,” katanya.

Kontrak Ingreso sudah tamat sejak 30 November lalu.

Ini menjadikan perlawanan Penang FC menentang Sri Pahang pada 26 November lalu sebagai perlawanan terakhirnya bersama pasukan gergasi Pantai Timur itu.

Ia sekali gus menyaksikan Ingreso tidak akan beraksi menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim FC (JDT FC) pada Ahad.

Dalam pada itu, Zulhelmi mendedahkan Ingreso bakal berhijrah ke Thailand dan mewarnai saingan Thai League 1 pada tahun 2024.

Bersama Sri Pahang FC, Ingreso merekodkan 21 penampilan bersama dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram