Umpama permainan kiub Rubik, Selangor FC pilihan Irfan Bakti jadi naib juara


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Nafuzi Zain pastinya mempunyai resipi istimewa berdepan Selangor FC. — Facebook/Kedahfc

BOLA Pegun menemui pembaca lagi. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

PUSINGAN 25 dan 26 Liga Super yang masih berbaki bermula hujung minggu ini boleh saja diumpamakan dengan permainan kiub Rubik. Di antara Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC yang saling berebutkan kedudukan terbaik selepas Johor Darul Takzim (JDT) yang tidak tergugat di tangga teratas, masing-masing terkait sesama sendiri.

Berbanding JDT yang harus dibiarkan menjilat luka kekalahan 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), Selasa lalu, juara Liga Super 2023 itu harus merelakan tumpuan beralih kepada pertembungan KDA FC dan Selangor FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Ibarat jalur kiub Rubik yang dipusing-pusingkan untuk menepati warnanya, keputusan pertemuan KDA FC-Selangor FC itu bagaimanapun belum memuktamadkan apa-apa kerana skuad Sang Kenari itu masih perlu berkunjung ke gelanggang Sabah FC pada 17 Disember sambil The Red Giants akan menutup tirai sebagai tuan rumah kepada PDRM FC pada hari yang sama.

WhatsApp Image 2023-12-01 at 20.20.08

KDA FC pastinya sudah bersedia untuk menerima kunjungan Selangor FC dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/Kedahfc

Sabah FC yang akan menjadi tetamu Perak FC, Ahad ini, bukan sekadar boleh menjadi ‘kingmaker’ dalam perlawanan terakhir menentang KDA FC, malah secara matematiknya masih mampu merampas tangga ketiga andainya skuad Hijau Kuning itu terus kehilangan mata.

“Selangor FC akan muncul naib juara liga dan meraih satu-satunya slot ke saingan Asia yang tinggal,” ramal bekas Ketua Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim, yang terus mengikuti rapat perkembangan Liga Super sejak melepaskan jawatannya 17 Julai lalu.

Bekas jurulatih berusia 72 tahun itu tidak menyandarkan ramalannya itu atas sebab-sebab sentimental selepas pernah membimbing skuad Merah-Kuning itu pada 2012-2013, Selangor FC adalah satu daripada sembilan pasukan tempatan di bawah kendalian tapi lebih kepada kelebihan psikologi yang dimiliki mereka selepas kali terakhir layak ke saingan Asia pada 2016.

Selangor FC juga unggul 3-2 dalam pertemuan pusingan pertama liga 24 Mei lalu di samping skuad Hijau-Kuning itu dilaporkan terganggu oleh masalah kelewatan pembayaran gaji dibandingkan dengan Selangor yang bebas daripada masalah serupa.

WhatsApp Image 2023-12-01 at 16.57.40 (1)

Shahrul Nazeem pastinya mampu menggalas tugas untuk menjaga benteng pertahanan Gergasi Merah daripada dibolosi KDA FC. — Facebook/Selangorfc

Majoriti dalam laporannya pada 25 Oktober lalu mendedahkan kelab Utara tanah air itu sedang berdepan isu tunggakan gaji di sebalik pihak pengurusan enggan memberi sebarang penjelasan mengenainya.

Isu itu dikhuatiri akan menjejaskan peluang mereka merebut slot ke pentas Asia musim depan selain mungkin mengakibatkan beberapa pemain mengangkat kaki demi mencari kelab lebih baik dalam saingan musim depan.

“Selangor ketika ini berkelebihan dua mata (keputusan seri pun masih menguntungkan mereka). Saya lihat ‘advantage’ di pihak Selangor. Tak tahulah kalau Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain pandai main psikologi dengan pemain-pemainnya, mereka mungkin boleh atasi kekurangan ini,” kata Irfan Bakti kepada Bola Pegun.

Sebelum ini, Azraai Khor Abdullah, jurulatih yang mengemudi skuad Hijau-Kuning mencipta rekod paling cemerlang 'double treble' apabila melengkapkan koleksi tiga gelaran iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selama dua musim berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008 berkata, sukar untuk menilai siapakah yang bakal membawa pulang tiga mata daripada aksi yang dinanti-nantikan malam esok (Jumaat).

"Selagi tak habis perlawanan, kita tak tahu siapa yang menang. Kelebihan mungkin berpihak kepada Kedah, tapi kalau kita tengok prestasi pasukan, Selangor FC berada dalam momentum terbaik," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-12-01 at 16.57.40

Cheng Hoe (kanan) waspada dengan taktikal dan helah yang bakal ditampilkan oleh KDA FC. — Facebook/Selangorfc

Naib juara Liga Super bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan selepas Piala AFC digantikan dengan Piala Cabaran AFC. Selain itu, mereka juga ditawarkan slot memandangkan JDT yang ditabalkan juara Liga Super turut menjulang Piala FA 2023 musim ini.

Di pihak kedua-dua ketua jurulatih pula, tiada yang berani meramalkan pemenang, dengan Nafuzi sekadar mengharapkan pemain-pemainnya dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di Stadium Darul Aman yang dijangka penuh untuk meraih tiga mata bagi memintas lawan.

"Sekarang ini kita hanya mempunyai perbezaan dua mata dengan Selangor dan mempunyai baki dua lagi perlawanan liga. Tumpuan pada masa ini ialah merebut slot tempat kedua untuk Piala AFC musim depan, jadi persaingan ketika ini hanya Kedah dan Selangor,” katanya selepas mengalahkan Kelantan FC 6-1 di Kota Bharu, 26 November lalu.

Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, pula menuntut pemain-pemainnya bangkit memenuhi cabaran dengan momentum daripada kemenangan terakhir 4-0 ke atas Perak FC, Ahad lalu, diharapkannya dapat diteruskan bagi mengukuhkan cengkaman mereka terhadap tangga kedua.

Rakaman perlawanan KDA FC mengikat JDT untuk keputusan seri 3-3 di Alor Setar, 28 Ogos lalu – satu-satunya pasukan yang mampu mencuri mata daripada juara liga 10 musim berturut-turut itu – menjadi modal rujukannya dalam mempersiapkan strategi terbaik daripada dikecewakan tuan rumah.

“Kemenangan ke atas Perak (selepas tiada aksi kompetitif hampir dua bulan) mengembalikan kami ke momentum yang diharap-harapkan. Inilah yang saya harap pemain-pemain dapat teruskan kerana ia akan memerlukan kami berada dalam keadaan terbaik apabila berdepan dengan Kedah,” katanya.

WhatsApp Image 2023-12-01 at 18.16.41

Barisan Sabah FC meraikan kemenangan bergaya ketika menewaskan Hougang United. — Facebook/Sabahfc

Selebihnya, perlawanan hujung minggu ini menyaksikan Sri Pahang FC yang sudah berpuas hati mengesahkan tangga kelima, melayani kunjungan JDT yang diibaratkan harimau luka.

Tanpa dapat menurunkan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan serta dua bek, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq atas dasar mereka adalah pemain pinjaman daripada JDT di samping ketiadaan tonggak yang cedera, Ketua Jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad, seakan-akan pasrah dengan apa saja kemungkinan.

Sabah FC pula akan ke Stadium Perak bukan tanpa matlamat khusus. Segar daripada kemenangan 4-1 ke atas Hougang United dalam aksi Piala AFC pada Khamis untuk menjuarai kumpulannya, Sang Badak akan meneruskan ikhtiar mereka kalau-kalau boleh mengulangi pencapaian tangga ketiga seperti musim lalu.

Permainan kiub Rubik dalam dua pusingan terakhir liga musim ini semakin menghampiri penghujungnya yang tidak mungkin memberi pengalaman indah kepada semua. Di antara Selangor FC dan KDA FC, salah satu pasti akan kecewa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram