Sentimen anak jati tebal, Feroz boleh ikut jejak Rawilson, Azam Azih muncul ‘one club man'


  • Podium
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Aiman mempunyai potensi untuk menjadi seorang bek kanan berkualiti. — Facebook/Perak FC

BEK tengah Sabah FC, Rawilson Batuil yang beraksi sebagai pemain gantian ketika pasukannya berdepan Hougang United dalam perlawanan kelima Kumpulan H berjaya mencipta rekod tersendiri.

Dalam satu ciapan di laman Twitter Harimau MYstats, pemain berkenaan sudah meraih 200 penampilan dalam kesemua kejohanan buat skuad Sang Badak.

Dia yang mencipta debut buat pasukan Borneo itu pada 2014 boleh dianggap salah seorang pemain utama mereka meskipun kurang diberikan peluang beberapa musim kebelakangan ini.

Ia pastinya menjadi satu pencapaian cukup bermakna buatnya dengan statusnya sebagai anak jati Sabah menaikkan lagi nilainya buat kelab berkenaan.

Lebih menarik lagi, catatan 200 penampilan tersebut menyaksikan Rawilson mengikat rekod yang baru-baru ini dicatatkan tonggak Sri Pahang FC, Nor Azam Azih.

335324171_1232332037691454_9154588228819112156_n

Nor Azam mengukuhkan legasinya selepas merekodkan 200 penampilan buat skuad Tok Gajah.

Pemain yang dilahirkan di Maran, Pahang itu meraih angka tersebut selepas bertahun-tahun melimpahkan kesetiaan buat skuad Tok Gajah meskipun menerima tawaran beberapa kelab Liga Super.

Pencapaian itu sedikit sebanyak menceritakan masih terdapat sentimen hubungan istimewa antara pemain dengan kelab berpangkalan di negeri kelahiran masing-masing.

Kesetiaan tersebut turut menyaksikan mereka diberikan gelaran one club man seperti mana sering digunakan dalam media di peringkat antarabangsa.

Rekod sebegitu juga dilihat akan terus dicatatkan pada tahun-tahun akan datang memandangkan masih terdapat beberapa pemain Liga Super yang melahirkan semangat kecintaan terhadap negeri masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang berpotensi mengulangi pencapaian seperti Nor Azam dan Rawilson dengan menghabiskan baki karier dengan kelab semasa.

1. Feroz Baharudin (JDT)

Secara rasional, tiada pemain yang dilihat akan memilih untuk meninggalkan Johor Darul Takzim (JDT) melihat kepada pencapaian mereka di dalam dan di luar padang.

Bagaimanapun, kedudukan mereka dalam pasukan sememangnya tidak dijamin memandangkan skuad Harimau Selatan hanya akan memberi ruang buat pemain terbaik.

Antara yang boleh diletakkan dalam kategori bintang utama buat jaguh Liga Super itu pastinya bek tengah muda mereka, Feroz Baharudin.

1971248

Feroz berpotensi menjadi legenda skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dia yang menyertai pasukan tersebut dari JDT II musim lalu terus mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama meskipun terdapat saingan hebat dalam posisi pertahanan pasukan.

Persembahannya yang konsisten dijangka akan membolehkannya untuk terus kekal dalam pasukan untuk bertahun-tahun lamanya dengan dia baru sahaja berusia 23 tahun.

Malah, kehadirannya dalam pasukan turut diharapkan penyokong skuad Harimau Selatan dengan statusnya sebagai anak jati Kota Tinggi, Johor mendekatkan lagi dirinya dengan kelab itu.

Sekiranya Feroz terus kekal bersama JDT, tiada persoalan bahawa rekod penampilan akan dipecahkannya, lebih-lebih lagi sekiranya dia kekal cergas sepanjang karier.

2. Fayadh Zulkifli Amin (KDA FC)

Ketika Fayadh Zulkifli Amin mencipta debut buat Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2019, ramai mula mengatakannya sebagai permata baharu skuad Sang Kenari.

Tubuhnya yang kecil dan kelincahannya dalam membawa bola membolehkan namanya diangkat sebagai salah seorang pemain sayap berpotensi buat negara.

Statusnya sebagai anak jati Baling, Kedah turut mengukuhkan lagi tempatnya dalam kalangan penyokong Hijau Kuning serta dalam kesebelasan utama pasukan.

404985866_384377843943399_9098631410953090419_n

Fayadh berpeluang mencipta lebih banyak penampilan buat skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Meskipun persembahannya kurang meyakinkan musim ini, ia tidak menghalang ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk terus memberikannya kepercayaan dengan dia kini sudah mencatatkan 21 penampilan Liga Super.

Catatan tersebut menyaksikan pemain berusia 25 tahun berkenaan sudah merekodkan 97 penampilan buat skuad Sang Kenari dalam kesemua kejohanan.

Jika KDA FC berjaya mengikat dan mengekalkan khidmatnya, Fayadh dijangka akan mencecah rekod yang dicatatkan Azam Azih mahupun Rawilson.

Tidak cukup dengan itu, penyerang tersebut juga berpotensi mengikut jejak langkah legenda Sang Kenari, seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang merekodkan ratusan penampilan buat mereka.

3. Aiman Khairul Yusni (Perak FC)

Musim ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) memberikan kepercayaan penuh terhadap pemain muda dalam musim kepulangan mereka dalam saingan Liga Super.

Salah seorang ubi muda yang berjaya meraih manfaat daripada keputusan berkenaan ialah bek kanan mereka, Aiman Khairul Yusni setelah dibawa masuk dari skuad muda mereka.

Meskipun baru merekodkan tujuh penampilan, anak jati Kuala Kangsar, Perak tersebut sudah mempamerkan kualiti tersendiri menjangkau usianya yang masih muda.

Persembahannya itu sudah cukup untuk meletakkannya dalam tempat istimewa dalam kalangan penyokong kelab Utara tanah air berkenaan.

Ia juga sedikit sebanyak menimbulkan khabar angin bahawa terdapat kelab Liga Super yang bersedia untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan akan datang.

Namun, hubungannya yang baik dengan peminat serta staf kejurulatihan memberi bayangan bahawa Aiman akan memilih untuk kekal mengerah keringat buat skuad TBG.

Selain itu, ketiadaan saingan hebat di posisi terbabit memainkan peranan dengan bek berusia 21 tahun tersebut pastinya diberikan peluang beraksi dengan kerap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram