'Jangan tumpu Penang FC sahaja', ramai desak futsal, sukan lain dibantu dana negeri elak terkubur


  • Podium
  • Ahad, 03 Dis 2023

Pasukan futsal Pulau Pinang merupakan antara pencabar utama kejuaraan MPFL dan Piala Malaysia Futsal musim ini. — Instagram/penangfutsal

SEJAK dipilih sebagai Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen sudah membawa pelbagai perubahan dalam menyelamatkan musim Penang FC.

Keputusannya untuk menggugurkan pengarah teknikal kelab, Kamal Kalid serta pengurusnya, Ong Eng Hua menerima pujian daripada penyokong pasukan itu.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang tersebut turut membuat rombakan dengan menggugurkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt dan pembantunya, Manzoor Azwira Abd Wahid.

Jawatan berkenaan kemudiannya diisi pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhali yang berjaya menyuntik perubahan dengan mengumpul tiga mata ketika berdepan Sri Pahang FC 26 November lalu.

Situasi berkenaan menyaksikan sebahagian besar penyokong skuad Harimau Kumbang mula memberi pujian terhadap Zi Sen yang diharapkan dapat membawa lebih banyak kejayaan buat masa depan bola sepak Pulau Pinang.

405849161_888998762740779_6247765291535632342_n

Kemenangan ke atas Sri Pahang FC menunjukkan perubahan skuad Harimau Kumbang sudah membuahkan hasil.Facebook/Penang FC

Namun, di sebalik kebangkitan Penang FC, masih terdapat beberapa desakan dibuat terhadap Exco berkenaan dalam usahanya terus membangunkan sukan dalam negeri.

Berdasarkan satu hantaran di Facebook Penang Brotherhood, terdapat permintaan daripada peminat futsal di Pulau Pinang yang mengharapkan suntikan dana dibuat kerajaan negeri.

Harapan berkenaan dibuat kerana pasukan tersebut memerlukan pelaburan meskipun mereka sudah menjalankan usaha untuk berdiri secara swasta.

"Dikhabarkan kini pasukan futsal Pulau Pinang berkemungkinan ‘tutup kedai’ setelah kesukaran mendapatkan tajaan berikutan penstrukturan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang memanjangkan tempoh liga.

"Kecemerlangan pasukan futsal Pulau Pinang mungkin bakal terhenti walaupun selama dua tahun menjadi ‘top 4’ terbaik dalam Liga Malaysia dan memberi saingan kepada pasukan-pasukan gergasi," katanya.

Musim ini, pasukan Utara tanah air berkenaan memberikan tentangan sengit dalam MPFL dengan mengesahkan slot ke suku akhir liga dan suku akhir Piala Malaysia Futsal.

WhatsApp Image 2023-12-03 at 14.10.12

Respons daripada Izhar Shah mengenai harapan suntikan dana kerajaan terhadap pasukan futsal Pulau Pinang.

Jadi, dalam menyelesaikan masalah terbabit, harapan terus dibuat terhadap Daniel Gooi dalam memastikan pasukan futsal Pulau Pinang tidak terkubur.

Situasi itu turut mendesak pengguna Facebook tersebut untuk mengharapkan Adun Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah supaya menyelamatkan pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada usaha dapat dibuat setelah isu berkenaan ditekankan dalam persidangan DUN dengan sokongan daripada ahli yang lain.

"Saya dan Adun Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff sudah suarakan dalam sidang baru-baru ini. Kami suarakan jangan terlalu tertumpu pada Penang FC sahaja, sebaliknya perlu tengok seluruh ekosistem lain macam futsal dan sebagainya.

"Kuasa kelulusan bajet dan peruntukkan ada pada Kerajaan Negeri. Hendak atau tak hendak sahaja. Moga ada sinar lah," katanya.

Meskipun sudah diminta untuk memberikan penjelasan, Zi Sen masih belum memberikan respons dengan harapan peruntukan dana dapat diteruskan buat pasukan futsal negeri itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram