Dua nama besar mungkin pulang berdepan JDT, tapi fans Ganu lebih risau ketiadaan Alif Zakaria


  • Podium
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Alif dikhabarkan mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa disisihkan sehingga penghujung musim. — Facebook/Terengganu FC

PRESTASI merisaukan dipamerkan skuad Sang Penyu sejak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi dalam aspek pertahanan dengan mereka gagal mencatatkan sebarang clean sheets dalam lima perlawanan terakhir.

Ia turut diburukkan lagi apabila mereka dibolosi empat gol dalam aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 24 November lalu.

Sekiranya tiada perubahan dapat dibuat ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner pada masa terdekat, pasti ia akan mendatangkan kerisauan menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim pada 8 Disember ini.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu tidak boleh dipersalahkan sama sekali atas isu tersebut apabila hampir kesemua daripada tonggak pertahanan Terengganu FC mengalami kecederaan.

Kedua-dua bek sayap mereka, Azam Azmi Murad dan Alif Zakaria difahamkan masih dalam proses penyembuhan manakala pertahanan tengah berpengaruh, Shahrul Nizam Ros Hasni turut disisihkan kebelakangan ini.

383081965_300246709383437_3775689369298320461_n

Terdapat kemungkinan Azam Azmi akan pulang untuk aksi berdepan JDT. Facebook/Terengganu FC

Ketiadaan ketiga-tiga pemain itu menyaksikan Tomislav terpaksa memberi kepercayaan terhadap pilihan lain dengan percaturan berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap gaya permainan mereka.

Tetapi, baru-baru ini, penyokong Terengganu FC menerima perkhabaran baik apabila difahamkan Azam Azmi serta seorang lagi pemain pertahanan, Safwan Mazlan akan bersedia untuk aksi menentang skuad Harimau Selatan.

Berdasarkan ciapan Terengganu 11, terdapat kemungkinan kedua-dua mereka akan sembuh menjelang perlawanan itu, namun kisah berbeza dialami Alif Zakaria.

"Safwan Mazlan dan Azam Azmi mungkin dapat diturunkan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, manakala Alif Zakaria terpaksa berehat panjang, pakat doa semoga dia cepat sembuh," tulisnya.

Perkhabaran berkenaan mendapat respons bercampur daripada penyokong Sang Penyu memandangkan tugasan berat perlu dihadapi mereka untuk menyekat jentera serangan JDT.

405239975_941455464015441_2859660913683837205_n

Tangkap layar daripada hantaran Terengganu11 memberikan kelegaan buat penyokong Sang Penyu.

Tidak cukup dengan itu, ketiadaan Alif yang merupakan bek kiri turut dikhuatiri akan memudahkan tugasan pemain sayap kanan lawan, Arif Aiman Hanapi.

"Saya risau bahagian kiri tu kerana pemain perlu menjaga Arif Aiman. Kalau pemain itu gagal menyekat lebih awal, memang akan menyukarkan pasukan," ujar Tikhon Kuzmin.

"Sedih kerana Alif terpaksa berehat panjang, memang goyah nampaknya bahagian kiri pertahanan. Susah ni nampaknya nanti," kata Lutfil Hadi.

"Alif ada pun susah untuk kita sekat Arif, inikan pula dia tiada. Harapnya dapatlah yang dimasukkan pikul tugas dengan baik," kata Faizwan Faez.

Pemain berusia 25 tahun tersebut mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.

Sepanjang ketiadaannya, skuad Sang Penyu terpaksa meletakkan Arif Fadzilah di posisi berkenaan dengan orang ramai seperti kurang berminat dengan persembahannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram