PERSAINGAN dalam kejohanan Asia melibatkan pasukan-pasukan Malaysia masih belum lagi tamat walaupun kini menghampiri penghujung.
Johor Darul Takzim (JDT) mungkin sudah menemui jalan keluar dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), tetapi tidak buat Sabah FC dan Terengganu FC yang masih bernyawa dalam Piala AFC.
Sabah yang mendahului kumpulan H mampu untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya jika berjaya mengalahkan Hougang United pada Khamis dengan perlawanan akan diadakan di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Sementara Terengganu wajib menewaskan Bali United pada aksi terakhir untuk menghidupkan cabaran mereka di Piala AFC terus menyala.
Walaupun terdapat pelbagai cerita menarik melibatkan wakil Malaysia di peringkat Asia, satu rekod hebat berjaya dicipta Terengganu usai keputusan seri 1-1 menentang Central Coast Mariners di Australia.
Terengganu kekal menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang masih belum kalah dalam saingan Asia musim ini selepas lima perlawanan.
Mereka berjaya merakamkan dua kemenangan iaitu menewaskan Mariners di Gong Badak dan Stallion Laguna semasa berada dekat Filipina.
Dua kemenangan itu diiringi dengan tiga keputusan seri apabila seri bertemu Bali dan Mariners di tempat lawan serta diikat Laguna dekat laman sendiri.
Sebagai perbandingan, JDT kalah tiga perlawanan iaitu dua kali bertemu Kawasaki Frontale serta Ulsan Hyundai semasa mereka di Korea Selatan.
Sementara Sabah pula mencatatkan satu kekalahan apabila tumpas kepada Hai Phong semasa mereka bertandang di Vietnam.
Kalau menang, mesti dah layak
Walaupun menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang belum kalah dalam kejohanan Asia. Namun, masih terdapat penyokong Terengganu yang kecewa dengan persembahan pasukan.
Terengganu mungkin masih belum kalah, tetapi kedudukan mereka masih belum selamat kerana skuad Penyu masih boleh dipintas Bali jika tewas perlawanan terakhir.
Situasi ini menimbulkan rasa tidak senang penyokong. Ada yang menyalahkan keputusan seri bertemu Laguna di Gong Badak tidak sepatutnya berlaku.
Terengganu seri 1-1 dengan Central Coast Mariners di Australia. — Facebook/Terengganu FC
"Sampai sekarang rasa menyesal tak menang dengan Laguna. Kalau tidak, kaki sebelah kanan dah ke separuh akhir (zon Asean)," kata penyokong bernama Syukur Salleh.
"Samalah. Sampai sekarang tak boleh terima keputusan seri, lagi empat minit nak habis," ujar Hud Mohd.
Sebagai perbandingan, situasi Sabah dilihat berbanding Terengganu. Skuad Badak mungkin sudah tewas satu perlawanan, tetapi mereka lebih dekat dengan pintu ke pusingan seterusnya berbanding skuad Penyu.
Macam mana sekalipun, Terengganu wajib menang perlawanan bertemu Bali supaya cabaran dua wakil negara di Piala AFC terus menyala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram