Puji rakan sepasukan, Ivan Mamut anggap kunjungan ke Australia sebagai azimat persediaan Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 30 Nov 2023

Antara aksi menarik Ivan Mamut (tengah) ketika mengawal bola daripada dirampas pasukan lawan. — Facebook/Terengganufc

PENGGEMPUR import Terengganu FC, Ivan Mamut, enggan meratapi kekecewaan gagal meraih tiga mata namun memuji semangat juang yang dipamerkan rakan sepasukannya ketika diikat 1-1 oleh Central Coast Mariners dalam aksi kelima Kumpulan G Piala AFC pada Rabu.

Skuad Sang Penyu membuka jaringan menerusi tandukan Engku Nur Shakir pada minit ke-53, namun, kelekaan dan keletihan menyaksikan kelab Australia itu mudah meraih jaringan penyamaan selepas pemain berusia 17 tahun, Miguel Di Pizio tidak diawasi.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah untuk mereka bertandang ke laman lawan berikutan tempang di bahagian pertahanan.

WhatsApp Image 2023-11-30 at 09.54.22 (1)

Sebahagian aksi menarik antara Ivan Mamut (kanan) dan pemain Mariners dalam perlawanan tersebut. — Facebook/Terengganufc

Justeru, Mamut menganggap kekentalan dalam kunjungan ke Australia mampu menjadi azimat untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

"Sukar untuk kami datang ke mari terutama tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan.

"Kami akan berdepan dalam satu perlawanan akhir dalam beberapa lagi jadi keputusan ini adil buat kami.

"Saya harap kami akan terus berjuang seperti hari ini," katanya selepas perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan kedudukan teratas kekal milik Central Coast Mariners.

Terengganu FC bagaimanapun terpaksa menunggu keputusan akhir daripada pertembungan antara Bali United dan Stallion Laguna untuk menentukan sekiranya mereka layak atau tidak.

Bagaimanapun, Tomislav Steinbruckner perlu mempersiapkan anak-anak buahnya dalam tempoh seminggu bagi menghadapi penentuan gelaran juara Piala Malaysia dengan Johor Darul Takzim (JDT).

Terengganu FC dijadual berdepan JDT pada 8 Disember nanti bagi perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di gelanggang keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram