Hanya ada 4 'sub', ramai puas hati Sang Penyu berjaya curi mata di bumi Australia


  • Podium
  • Rabu, 29 Nov 2023

Satu persembahan cukup bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan dalam aksi kelima Kumpulan G Piala AFC 2023/24. — Facebook/AFC Cup

GOL pemain gantian Central Coast Mariners, Miguel Di Pizio pada minit ke-87 menyaksikan Terengganu FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi kelima Kumpulan G Piala AFC pada Rabu.

Skuad Sang Penyu yang membuka jaringan menerusi tandukan Engku Nur Shakir pada minit ke-53 pastinya sedikit kecewa apabila benteng pertahanan mereka beraksi dengan cukup baik.

Namun, kelekaan dan keletihan menyaksikan kelab Australia itu mudah meraih jaringan penyamaan selepas pemain berusia 17 tahun itu tidak diawasi.

Tetapi, di sebalik kekecewaan di Stadium Central Coast, Australia tersebut, penyokong pastinya sedikit berpuas hati dengan satu mata yang diperoleh.

Manakan tidak, mereka yang dilanda isu kecederaan dilihat terpaksa menyenaraikan hanya empat pemain, termasuk seorang penjaga gol di bangku simpanan.

406209498_336887995719308_2531706733667083216_n

Hanya empat pemain diletakkan di bangku simpanan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Isu tersebut turut menyaksikan kesebelasan utama pasukan mengalami perubahan ketara apabila mereka terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain penting.

Keputusan itu juga seperti memberikan sedikit kelegaan buat penyokong Terengganu FC memandangkan mata penting tersebut terus menghidupkan peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.

"OK juga tu, ramai pemain cedera tapi boleh dapat satu mata. Harapnya perlawanan terakhir nanti boleh dapatkan kemenangan," ujar Zam Ganu.

"Kekal dengan keputusan seri boleh diterima sebenarnya. Sudahlah kita tempang dengan kesebelasan utama serta senarai pemain simpanan," kata Tengku Halim.

2298237 (1)

Shahrul Nizam merupakan antara tonggak yang tidak diturunkan di Australia. Facebook/Terengganu FC

"Boleh diterima keputusan ni. Terengganu sudah berikan yang sebaiknya, harap masih ada peluang untuk tamatkan peringkat kumpulan di tangga kedua," kata Fahruzali Rashid.

Sebelum ini, kelab Pantai Timur itu mengumumkan sebanyak tiga pertahanan utama mereka terpaksa disisihkan akibat kecederaan dialami, iaitu Shahrul Nizam Ros Hasni, Alif Zakaria serta Azam Azmi Murad.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan kedudukan teratas kekal milik Central Coast Mariners.

Terengganu FC bagaimanapun terpaksa menunggu keputusan akhir daripada pertembungan antara Bali United dan Stallion Laguna untuk menentukan sekiranya mereka layak atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram