Tiket TFC habis dijual, penyokong JDT risau bahagian mereka disambar fans Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia untuk Terengganu telah habis dijual sejak ia dibuka kepada penyokong pada Jumaat. — Facebook/Terengganu FC

KURANG daripada seminggu sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 bakal diadakan melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC.

Aksi yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kualal Lumpur pada 8 Disember itu pasti akan menjadi pertemuan hangat melibatkan kedua-dua pasukan yang memburu piala terakhir ditawarkan dalam kalendar bola sepak Malaysia.

Kehangatan itu diterjemahkan kepada bentuk jualan tiket apabila kouta bagi penyokong Terengganu dilaporkan telah pun habis dijual. Kedua-dua pasukan dikatakan memperoleh sekitar 40,000 keping tiket bagi perlawanan akhir itu.

Terengganu mengumumkan kesemua kategori tiket yang dikhaskan untuk penyokong Terengganu telah licin selepas ia mula dijual pada Jumaat.

"Dimaklumkan oleh pihak Tickethotline kesemua tiket online bagi GA50, GA70, PG150 dan VIPG200 untuk penyokong Terengganu FC telah HABIS TERJUAL.

"Terima kasih buat seluruh penyokong yang telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi buat pasukan Terengganu FC!," kata Terengganu dalam kenyataan mereka.

Berita itu nyata mengecewakan penyokong Terengganu yang gagal untuk mendapatkan tiket mereka bagi perlawanan akhir itu. Dalam masa yang sama, ia turut mengundang kegusaran penyokong-penyokong JDT.

Setakat ini, tiket di bahagian JDT masih lagi boleh dibeli dan penyokong Harimau Selatan risau bahagian mereka akan disambar oleh pendukung Terengganu.

"Cepat-cepat, nanti mereka beli bahagian kita," kata penyokong bernama Azim Sohani.

Namun begitu, keresahan itu ditenangkan oleh penyokong JDT yang lain kerana situasi itu tidak perlu dirisaukan.

Hal ini kerana, ada penyokong yang berasa 'bosan' melihat pasukan mereka menjadi juara.

"Mesti final ni menang, tak tengok pun tak apa," ujar Kamikazee Jas.

"Biasalah, dah biasa masuk perlawanan akhir. Perasaan dia tak sama dengan yang jarang masuk perlawanan akhir," kata Sani Hussin.

"Tak ada penyokong pun JDT boleh capai kemenangan," komen Noordin Abdullah.

Musim lalu ketika perlawanan akhir Piala FA melibatkan dua pasukan sama, situasi serupa berlaku apabila Terengganu berjaya menghabiskan kesemua kuota tiket yang dikhaskan buat mereka.

Namun begitu, skrip berbeza dengan JDT apabila mereka tidak berjaya menghabiskan jualan tiket pada perlawanan yang dimenangi mereka dengan keputusan 3-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram