BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
APA dah jadi? Kenapa ini berlaku ketika liga dah hampir ke penghujung? Sri Pahang FC tidak lagi tergolong sebagai pencabar gelaran? Apakah ketua jurulatihnya akan kekal atau angkat kaki?
Fandi Ahmad sebelumnya membiarkan saja semua persoalan itu untuk pengikut setia skuad Tok Gajah tercari-cari jawapannya – tidak terkecuali dia sendiri dipersalahkan -- tapi dia akhirnya membuka mulut.
Berbaki hanya dua perlawanan dalam Liga Super 2023, Sri Pahang FC sudah terjamin tempatnya di tangga kelima di belakang Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC walaupun kedudukan tiga pasukan di atas mereka itu masih boleh berubah bergantung kepada keputusan dua perlawanan terakhir masing-masing.
Berbanding rasa kecewa di atas ketidakupayaan pasukannya menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas, Fandi sebaliknya melahirkan rasa puas hati dan lega.
Sekurang-kurangnya mereka tidak mampu lagi dipintas kerana Terengganu FC yang berjarak lapan mata di tangga keenam, hanya mampu mengutip 42 mata maksimum dibandingkan 44 mata dimiliki Sri Pahang FC ketika ini.
“Ia boleh jadi lebih buruk daripada ini sebenarnya. Kami pernah turun ke tangga keenam tapi kemudian naik semula. Begitu juga kami pernah bersaing untuk tangga ketiga tapi turun balik. Tapi inilah bola sepak.
“Untuk pemain-pemain yang kami ada dan mampu sampai ke tahap ini, saya harus katakan kami sudah melakukan sedaya-upaya kami. Ia bukanlah musim yang terlalu buruk dibandingkan dengan sesetengah pasukan yang berbelanja lebih,” katanya kepada Bola Pegun.
Siapa yang ingat bagaimana Sri Pahang berkesudahan sepanjang lima musim sebelum ini?
Kecuali musim 2018 dan 2019 apabila Tok Gajah tampil masing-masing di tangga keempat dan kedua, sebaliknya tiga musim terakhir menyaksikan pencapaian lebih buruk – tangga 8 (2020), 10 (2021) dan 7 (2022).
Ia membuat kedudukan mereka selaku naib juara di belakang JDT pada musim 2019 itu terasa seperti sudah terlalu lama berlalu.
“Saya boleh berasa gembira bahawa kami dapat menyudahkan musim ini di kedudukan yang lebih baik daripada musim lalu,” kata Fandi.
Jurulatih berusia 61 tahun itu turut mengimbau bagaimana pengurusan pasukan meletakkan sasaran ‘top 3’ pada awal musim ini – sesuatu yang dijawabnya sebagai terlalu sukar dan harus tidak berkemungkinan jika diambil kira Sri Pahang FC tidak memiliki kedalaman pasukan.
Conti (kiri) dan Nwakaeme (kanan) antara gandingan berbisa yang pernah ada dalam sejarah bola sepak Pahang.
“Saya beritahu bos ketika itu, ‘top 5’ adalah target yang lebih realistik dengan pemain-pemain yang kami ada. Suka atau tidak, kami sebenarnya tidak punya barisan pemain simpanan yang kuat dan ini akan menyulitkan dalam satu musim pertandingan yang panjang,” jelasnya.
Pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh, pernah berkongsi pandangan serupa dengan beranggapan Sri Pahang FC musim ini adalah ‘barisan yang biasa-biasa’ jika dibandingkan dengan skuad juara Piala Malaysia 2014 yang memiliki gandingan Dickson Nwakaeme-Matias Conti di barisan serangan dan Damion Stewart mengemudi pertahanan.
Merumuskan perjalanan mereka musim ini, Fandi berkata, pasukannya mengharungi separuh pertama musim dengan agak cemerlang sebelum masalah kecederaan dan penggantungan pemain serta jadual yang terhenti untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa merencatkan momentum mereka.
Kpah Sherman, Kevin Ingreso, Zarif Irfan Hashimuddin, Azrif Nasrulhaq, Zuhair Aizat Nazri, Sergio Aguero, Rafael Silva, Shamie Iszuan Amin, Malik Mat Ariff dan Michael Glassock semuanya silih-berganti terpaksa direhatkan di samping Lucas da Silva yang cedera untuk hampir sepanjang musim.
“Kami mempunyai sehingga empat pemain utama yang cedera selain penggantungan dalam dua perlawanan terakhir hingga menjejaskan pasukan,” kata Fandi merujuk kepada kekalahan 2-3 kepada PDRM FC di Kuantan pada 8 November dan keputusan serupa di tangan Penang FC pada 26 November lalu.
Dua pasukan berkenaan sebelumnya dilihat sebagai lawan mudah untuk Sri Pahang FC menghimpun mata bagi terus menyaingi Kedah dalam perebutan tangga ketiga. Ditambah dengan keputusan seri 2-2 dengan Terengganu FC sebelum itu pada 29 Oktober, Tok Gajah kehilangan tujuh daripada sembilan mata yang mampu diraihnya.
“Kecederaan dan penggantungan berlaku pada waktu paling tidak bertepatan buat kami. Anda boleh kata kami langsung tidak bernasib baik. Tapi saya tetap bangga dengan pemain-pemain yang terus berhabis-habisan dalam keadaan serba kepayahan,” katanya.
Kpah (depan) antara penjaring terbanyak Tok Gajah musim ini.
Seterusnya, JDT akan datang berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Ahad ini. Dan jika masalah kecederaan pemain dianggap merimaskan Sri Pahang ketika ini, ia ditambah lagi dengan hakikat mereka tidak dapat menurunkan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan serta dua bek, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq atas dasar mereka adalah pemain pinjaman daripada JDT.
“Sebagai jurulatih, saya cuma dapat beri panduan tapi pemainlah yang perlu bermati-matian dalam padang. Menang atau kalah, kami sentiasa berjuang dan untuk berdepan JDT, ia akan bergantung kepada selama mana pemain kami mampu terus mengekalkannya,” tambahnya.
Bagaimana masa depan Fandi sendiri bersama Sri Pahang FC?
Tanpa berselindung, jurulatih itu berkongsi dia menjadi buruan ejen beberapa kelab liga Indonesia sehingga ada yang menurutinya hingga ke Singapura ketika pulang bercuti baru-baru ini.
“Bos mahu saya kekal di sini. Saya sukakan cabaran dan kerana itu, sudah beri persetujuan untuk terus membimbing Sri Pahang. Saya juga sudah maklumkan ini kepada ejen-ejen dari Indonesia.
“Tapi saya perlukan semua sokongan dan bantuan yang saya boleh dapat. Saya fikir kami semua harus bertanya kepada diri sendiri sejauh mana seriusnya kita untuk memperkuatkan pasukan musim depan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram