PERCATURAN membawa masuk pemain kelahiran Nigeria dengan fizikal tinggi lampai, Christian Obiozor ke dalam The Bos Gaurus (TBG) bagi membantu pasukan itu mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 sebelum ini dilihat gagal.
Pihak pengurusan memilih untuk membawa masuk penyerang itu bagi memastikan mereka dapat berentap dengan lebih baik, sekali gus berpeluang berada dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, selepas merekodkan debut ketika berdepan PDRM FC, selain kurang memberikan impak memberangsangkan di hadapan gawang gol lawan, Obiozor juga kerap mempamerkan prestasi mengecewakan.
Selepas diturunkan dalam lapan aksi Liga Super, Obiozor hanya mencipta satu bantuan jaringan sehingga mengakibatkan rekod serangan skuad Perak berada antara yang tercorot dalam carta.
Obiozor hanya mencipta satu bantuan jaringan sehingga mengakibatkan rekod serangan skuad Perak berada antara yang tercorot. — Agensi
Antara puncanya termasuklah tekanan daripada penyokong yang terlalu berharap pemain berketinggian 1.92 meter (m) itu dapat membawa perubahan drastik, seterusnya membaiki isu ketumpulan jentera serangan mereka.
Justeru, Perak FC mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak penyerang berusia 29 tahun itu pada Julai lalu.
Dalam pada itu, meskipun tidak didedahkan secara umum, Obiozor baru-baru ini sudah memberi bayangan mengenai perkembangan terkini karier bola sepaknya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Berdasarkan hantaran itu, pemain berkenaan sudah pulang ke negara asalnya, Nigeria untuk menyertai juara bertahan Liga, Enyimba.
Menerusi perkongsikan itu juga, dia berhasil meledak hatrik ketika menentang kelab Carabana.
Obiozor sudah pulang ke negara asalnya, Nigeria untuk menyertai juara bertahan Liga, Enyimba. — Instagram/Obiozor
Menjengah ke ruangan komen, meskipun gagal mempamerkan momentum yang baik di Perak sebelum ini, rata-rata peminat kini mula mengakui kemahiran serangan yang dimiliki oleh Obiozor.
Namun, dengan fizikal yang dimiliki, kebanyakannya berpandangan bahawa dia lebih sesuai untuk beraksi di liga luar berbanding bersama pemain tempatan.
"Saja nak beritahu, menjadi betul dia main di sana. Mungkin dia tak sesuai main di Malaysia. Tinggi lampai, tolak sikit pemain Asia memang jatuhlah asyik dapat foul saja. Sana ramai pandai jolok bola bagi dia kot," kata Firdaus Saleh.
"Bukan tak boleh jadi, tapi dia struggle nak dapat (bola). Dengan fizikal dia tu nak bersaing dengan pemain yang lagi kecil kat sini memang susah.
"Peminat pun gelabah nak dia score debut, score setiap game. Tekanan la mamat tu setiap perlawanan kena maki. Lagi satu, masa dia main, kebanyakan pemain (masih) mentah bak kata LTK (Datuk Lim Teong Kim) tak ke manalah," tulis Harith Biersack.
"Mana dia nak score kalau bola pun tak dapat. Midfield tak buat game," ujar Rohaizad Abd Fandi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram