Bukan turun pangkat, tapi mungkin ada sebab Safawi, Forestieri main dengan adik-adik


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Forestieri (kanan) dan Safawi diturunkan dalam perlawanan JDT II menentang Perak FC II pada Rabu. — Facebook/JDT

PENYERANG sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri memberi kejutan kepada penyokong Harimau Selatan apabila kembali beraksi di atas padang bersama skuad JDT II setelah hampir dua bulan disisihkan akibat kecederaan.

Bukan sahaja penyerang kelahiran Argentina itu, malah Safawi Rasid turut dilihat berada dalam skuad adik tersebut.

Kelibat dua tonggak JDT yang diturunkan dalam skuad JDT II untuk saingan Liga Juara Piala MFL bertemu Perak II menyaksikan pasukan Harimau Selatan berjaya menang tipis 1-0 hasil jaringan tunggal dari penyerang sayap, Safawi seawal minit ketiga.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang kelahiran Argentina itu hanya bermain untuk 45 minit sebelum dikeluarkan pada awal babak kedua perlawanan bertujuan untuk meningkatkan kembali kecergasan setelah hampir dua bulan tidak beraksi.

Pawii

Safawi ketika aksi bersama JDT II menentang skuad Seladang. — Facebook/MFL

Kelibat penyerang berusia 33 tahun itu pastinya memberi berita gembira buat penyokong JDT yang ternanti-nantikan aksinya diatas padang.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin yang mengatakan kehadiran dua tonggak Harimau Selatan ke dalam skuad JDT II kerana sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan itu.

Susulan itu, rata-rata penyokong berpendapat bahawa kelibat kedua-dua pemain itu dalam skuad 'adik' bertujuan untuk mengembalikan stamina dan keyakinan menjelang perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertemu BG Pathum United pada 3 Oktober ini.

"Cari balik fitness balik saja tu, belum pulih sepenuhnya," kata Pemburu Bayangan.

"Cover up fitness saja tu, dah lama rehat kan," kata Azimi Siran.

"Forestieri dan Safawi nak pulihkan kecederaan, cukup fit baru main bersama JDT," kata Ngah Yuz.

Sebelum ini pada Julai lepas, Fernando Forestieri mengalami kecederaan selepas terjahan keras pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Akram Mahinan dalam perlawanan akhir Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram