Semangat 2018 antara 3 faktor Sabah mungkin jadi mangsa kedua Sang Seladang


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Mampukah Perak FC mencipta satu lagi kejutan dengan menyingkirkan lawan lebih hebat dalam Piala Malaysia kali ini? — Facebook/Perak FC

KEPUTUSAN cukup menarik dicatatkan dalam kesemua empat perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia 2023 dengan lapan pesaing masih mempunyai peluang cerah.

Daripada kesemua aksi yang berlangsung, terdapat tiga pertembungan berakhir dengan kemenangan kepada sesebuah pasukan, sekali gus menjadi bekalan selesa untuk aksi timbal balik.

Namun, dalam perlawanan antara Sabah FC dan Perak FC, kedua-dua mereka terikat selepas satu persembahan cukup baik sepanjang 90 minit permainan.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat lalu itu menyaksikan tuan rumah mendapatkan gol pembukaan menerusi jaringan Darren Lok.

Tetapi, kedudukan itu tidak bertahan apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) mendapatkan gol penyamaan apabila kapten mereka, Luciano Guaycochea melakukan percubaan cantik daripada sepakan percuma.

380184202_696240045876023_6451684502921633010_n

Persembahan cukup bersemangat dipamerkan kedua-dua pasukan minggu lalu. Facebook/Sabah FC

Meskipun Sabah FC kemudiannya berada di hadapan menerusi jaringan Ramon Machado, rembatan deras daripada Wan Zack Haikal pada minit ke-54 mengikat semula kedua-dua pasukan.

Keputusan akhir tersebut seakan-akan menceritakan bahawa Sabah FC dan Perak FC masih mempunyai peluang untuk menempah tiket ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian terhadap situasi ketika ini, terdapat kemungkinan skuad TBG berkelebihan dalam mendapatkan tempat dalam separuh akhir buat kali pertama sejak 2018.

Penilaian tersebut dibuat bukanlah untuk menidakkan peluang pasukan Borneo itu, namun ia berpunca daripada pelbagai faktor antara kedua-dua pasukan.

Jadi, Majoriti menyenaraikan tiga sebab bahawa Sabah FC akan terlepas peluang untuk ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 selepas melakukannya pada edisi lalu.

1. Misi di pentas Asia

Kejayaan Sabah FC untuk layak ke Piala AFC musim ini merupakan satu pencapaian cukup membanggakan apabila kali terakhir mereka berentap di pentas Asia adalah pada 1995.

Peluang terbabit semestinya tidak mahu dipersia-siakan pemain, barisan kejurulatihan serta pihak pengurusan pasukan berasal dari Borneo itu.

Manakan tidak, pencapaian memberangsangkan dalam kejohanan itu akan memberikan satu kelebihan buat nilai kelab di landskap lebih besar.

381526496_698133665686661_5012200173676375766_n

Anak-anak buah Kim Swee kini sedang dalam persiapan untuk kempen Piala AFC. Facebook/Sabah FC

Situasi itu akan memaksa ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk memilih kesebelasan utama terbaik dalam aksi yang hanya berselang beberapa hari antara satu sama lain.

Jika skuad Sang Badak dibarisi pemain utama ketika perlawanan pembukaan menentang Hougang United pada Khamis, terdapat kemungkinan mereka yang diturunkan akan direhatkan untuk aksi timbal balik di Stadium Ipoh, Perak.

Pendekatan sebegitu akan menjadi satu pertaruhan buat Kim Swee dan pasukannya memandangkan Sabah FC tidak mempunyai 'squad depth' terbaik musim ini akibat kecederaan.

Namun, pengalamannya sebagai jurulatih akan memainkan peranan dengan kejayaan dalam kedua-dua pertandingan masih mampu dicapai sekiranya keputusan terbaik dapat dibuat.

2. Semangat Perak FC dalam Piala Malaysia

Penyokong bola sepak tanah air, terutamanya dalam kalangan peminat setia Perak FC pastinya tidak dapat melupakan cabaran yang perlu dihadapi skuad TBG untuk mencapai suku akhir Piala Malaysia.

Setelah diundi di samping Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan pertama, ramai menjangkakan skuad kendalian Yusri Che Lah akan ditunjukkan jalan keluar lebih awal.

Namun, semangat berbeza dipamerkan dalam kedua-dua perlawanan menentang skuad Sang Kenari sehingga mereka mampu mara dengan agregat 4-3.

2239568-1160x774

Skuad TBG meraih kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan KDA FC. Facebook/Perak FC

Keputusan berkenaan membuktikan skuad TBG mempunyai semangat yang berbeza dalam Piala Malaysia memandangkan ia merupakan satu-satunya peluang untuk mereka menutup musim 2023 dengan pencapaian lebih baik.

Lebih menarik lagi, kesemua perlawanan dalam pertandingan terbabit, termasuk ketika seri menentang skuad Sang Badak menyaksikan Perak FC ketinggalan terlebih dahulu.

Sekiranya pihak pengurusan serta kejurulatihan dapat menyuntik semangat yang sama, terdapat kemungkinan besar Sabah FC akan menjadi mangsa terbaru kepada skuad TBG.

Malah semangat lima tahun lalu apabila Perak menjulang Piala Malayia pada 2018 pastinya menjadi tonik buat anak buah Yusri Che Lah untuk mengulangi pencapaian itu.

3. Fokus kedua-dua pasukan

Seperti dinyatakan di atas, Sabah FC memiliki misi tersendiri untuk menampilkan prestasi cemerlang dalam Piala AFC setelah terlalu lama menunggu untuk beraksi di pentas Asia.

Ia bagaimanapun menjadi satu ujian buat skuad Sang Badak apabila mereka perlu berdepan jadual lebih padat serta lawan lebih mencabar.

Situasi itu akan menambah satu sasaran baharu buat pasukan kendalian Kim Swee apabila mereka kini masih berentap dalam Piala Malaysia serta Liga Super.

Perkara berbeza dihadapi Perak FC ketika ini apabila satu-satunya tumpuan mereka menjelang penghujung musim adalah untuk mara sejauh mungkin dalam Piala Malaysia.

378198961_320574137189635_834263878943080794_n

Skuad TBG pastinya meletakkan kempen Piala Malaysia 2023 sebagai fokus utama mereka. Facebook/Perak FC

Mereka yang kini berada di tangga ke-11 Liga Super memiliki kelebihan berbanding tiga pasukan lebih corot dari segi kutipan mata serta prestasi dalam setiap perlawanan.

Jadi, Yusri serta barisan kejurulatihannya pasti mahu anak-anak buahnya untuk menampilan persembahan terbaik di laman sendiri untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Namun, sekiranya Sabah FC dapat menyuntik mentaliti berjuang sehingga habis-habisan, terdapat kemungkinan tiket untuk ke separuh akhir Piala Malaysia bakal menjadi milik mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram