BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
KETIKA pasukan-pasukan dikira hebat seperti Selangor FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC kini sekadar duduk di luar, siapa sangka Perak FC – tidak pun tergolong sebagai barisan gah – masih bersaing dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala Malaysia.
Di kemuncak kejayaan The Bos Gaurus menidakkan ramalan sekali lagi, Yusri Che Lah memilih untuk menghujani sanjungan kepada pemain-pemainnya tanpa ketua jurulatih Perak FC itu mahu menuntut sebarang kredit buat dirinya sendiri.
“Berdirinya saya di sini hari ini adalah kerana pemain-pemain saya. Yang pasti, pemain-pemain tahu keadaan mereka dan apa yang mereka perlu lakukan.
“Sebelum perlawanan lagi, saya katakan Sabah FC adalah pasukan pilihan, bukannya kami. Cuma, semua pemain Perak FC telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik sekali dan saya tak dapat nak minta lebih lagi daripada mereka,” katanya kepada Bola Pegun.
Bangkit daripada dua kali ketinggalan untuk kesudahannya mengikat Sabah FC 2-2 dalam aksi pertama suku akhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 September lalu, Perak FC harus berasakan tekanan berganda untuk mengerah diri memenuhi tuntutan dalam aksi timbal balik.
Perak menang 3-2 secara agregat ke atas The Rhinos. — Facebook/PerakFC
Kedudukan yang masih terikat tanpa bolos selepas 45 minit pembukaan, bagaimanapun, tentunya menimbulkan rasa sedap hati 14,852 penonton di Stadium Perak bahawa pasukan tuan rumah itu masih berpeluang melakukan sesuatu.
Cuma, nasib tidak menyebelahi mereka sebelum itu apabila satu sungkitan kapten, Luciano Goeycochea, disusuli kuisan Sunday Afolabi di depan pintu gol pada minit ke-36 hanya menyaksikan rembatan Seo Seon-ung menyinggahi palang dari jarak dekat.
Tempoh rehat 15 minit harus meluangkan masa untuk Goeycochea dan rakan-rakan membaharui tekad di dalam bilik persalinan sambil Yusri – seperti sebelum-sebelumnya – boleh diyakini meniupkan kata-kata semangat, memperkemaskan pendekatan dan berpesan-pesan terhadap tanggungjawab dalam babak kedua yang perlu dilaksanakan mereka.
Tapi magis Piala Malaysia – saingan tertua yang tidak pernah terhakis keistimewaannya oleh peredaran zaman dan hanya diperlekehkan oleh sebuah pasukan apabila tewas pada 2021 – mempunyai skrip berbeza.
Dalam pada pemain-pemain tertumpu kepada rehat separuh masa untuk melegakan otot-otot dan mengambil nafas seketika, habuan kerja keras dan keyakinan pada diri mereka sendiri akhirnya tiba dengan tidak terduga.
Wan Zack dilabel sebagai hero skuad Seladang bagi aksi suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/PerakFC
Daripada satu jolokan Afolabi ke dalam kawasan penalti, Wan Zack Haikal Wan Noor – penjaring gol kedua Perak FC di Stadium Likas tempoh hari – mengulangi sentuhan pemusnah selepas memperdayakan Stuart Wilkin untuk tuan rumah berkelebihan.
Gegak-gempita sorakan di Stadium Perak – yang kehadiran tertingginya sebelum ini ialah 15,106 penonton ketika menentang KDA FC dalam perlawanan pertama musim ini – hanya terhenti keriuhannya oleh wisel rehat separuh masa.
“Lepas gol pertama itu, memang saya bimbang sebab masa masih panjang. Apa yang saya takutkan ialah pemain-pemain saya melakukan kesilapan kecil yang boleh bawa padah. Itu yang saya risau sebenarnya tapi mujurlah itu tidak berlaku.
“Kemudian saya terpaksa gantikan Firdaus (Saiyadi) awal dalam permainan kerana cedera. Pemain- pemain yang dibawa masuk (Farris Izdiham dan kemudian Nik Umar Nik Azizi, Hakimi Mat Isa dan Fadhil Idris) semuanya jadi lagi bersemangat,” kata Yusri.
Sebaliknya, Perak FC yang hampir menjarakkan kedudukan tapi satu lorongan Luka Milunovic sayangnya menyaksikan percubaan Azalinullah Alias dari depan kotak penalti hanya sedikit sipi pada minit ke-65 ketika penjaga gol, Damien Lim, sudah pun terpaku.
Kemudian, pada minit ke-73, Yusri dilihat menghela nafas lega menyaksikan penyerang pelawat, Ramon Machado, berpusing dalam kawasan penalti sebelum rembatannya dihampakan palang gol.
Shaheeswaran menampilkan persembahan cemerlang menyelamatkan percubaan pemain Sabah. — Facebook/PerakFC
Tandukan Darren Lok yang diselamatkan penjaga gol, T Shaheeswaran, pada minit ke-88 manakala sepakan gunting Gabriel Peres pada minit ke-96 yang tersasar menyimpulkan nasib yang tidak menyebelahi Sabah FC malam tadi.
Perak FC pula melengkapkan satu peningkatan bermakna sejak tampil selaku juara selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan penalti dalam final 2018 di Stadium Shah Alam.
“Ini baru ‘clean sheet’ pertama selepas saya mengambil alih selama empat setengah bulan. Inilah juga pencapaian terbaik saya sebagai jurulatih,” kata Yusri yang sebelum ini mengendalikan Felcra FC (2015–2017), Kelantan FC (2018), Kuala Lumpur (2019), Kelantan (2019–2020), skuad Projek FAM-MSN (2021) dan Perak (2022).
Tanpa mahu memandang terlalu jauh ke depan untuk pertemuan separuh akhir dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada 20 Oktober dan 4 November, perancangan terdekatnya ialah untuk terus memupuk kesebelasan terbaik untuk mengusahakan peningkatan dalam Liga Super pula.
Perak FC ketika ini menduduki tangga ke-11 hasil himpunan 16 mata dengan berbaki lima perlawanan lagi dan akan menyambung aksi apabila berkunjung ke gelanggang Negeri Sembilan FC pada 1 Oktober.
“Sasaran seterusnya ialah untuk beri tekanan terhadap pasukan-pasukan di atas kami (Penang FC 19 mata dan NSFC 21 mata) dengan harapan kami dapat memperbaiki kedudukan,” katanya.
Selepas ini, Perak akan menentang JDT untuk aksi separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/PerakFC
Tapi, buat sementara waktu ini, The Bos Gaurus mahu meraikan dahulu kejayaan mereka ke separuh akhir Piala Malaysia, yang menjulang mereka selaku pasukan lebih baik daripada Selangor FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan KDA FC.
“Pemain-pemain saya berhak untuk ‘celebrate’ kejayaan ini walaupun lawan yang menanti dalam separuh akhir adalah pasukan yang amat kuat. Tetapi biarlah kami meraikan dahulu kejayaan pasukan ke separuh akhir,” ujarnya.
Bola Pegun sebelum ini angkat tabik kepadanya atas kejayaan menyingkirkan KDA FC dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia sekalipun tidak diramalkan demikian.
Sekali lagi, tabik Yusri Che Lah! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram