Pawi, Forestieri bantu JDT II tapi kelibat Leandro bertongkat undang kerisauan


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Forestieri dan Safawi diturunkan dalam perlawanan JDT II menentang Perak FC II pada Rabu. — Facebook/JDT

SEPERTI yang diketahui penyerang sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri pada Julai lalu mengalami kecederaan selepas terjahan keras pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Akram Mahinan dalam perlawanan akhir Piala FA.

Kehilangan itu jelas memberikan impak di bahagian serangan Harimau Selatan terutamanya apabila pemain import dari Argentina itu merupakan ayam tambatan JDT selepas menjadi penjaring terbanyak kelab dengan 17 jaringan gol.

Namun kini penantian penyokong yang ingin melihatnya kembali beraksi akhirnya tercapai apabila pemain berusia 33 tahun itu sudah kembali di padang perlawanan dengan mewakili JDT II bagi saingan Piala MFL.

Dalam perlawanan skuad simpanan Harimau Selatan itu menentang Perak FC II, barisan kejurulatihan JDT membuat pendekatan menurunkan barisan pemain pasukan utama seperti Forestieri, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah.

pawi isi

Safawi ketika aksi bersama JDT II menentang skuad Seladang. — Facebook/JDT

Aksi yang berlangsung di Pasir Gudang itu menyaksikan skuad kendalian Mariano Echeverria menang tipis ke atas The Bos Gaurus (TBG) dengan keputusan 1-0 hasil jaringan dari penyerang sayap, Safawi seawal minit ketiga.

Kelibat dua tonggak JDT itu membuatkan penyokong tersenyum sambil optimis bahawa penglibatan mereka dalam aksi JDT II itu adalah untuk mengembalikan stamina dan keyakinan menjelang perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertemu BG Pathum United pada 3 Oktober ini.

"Mungkin jurulatih ada perancangan nak guna dua pemain ini masa lawan BG Pathum di Thailand nanti," kata penyokong, Muhd Asyraf Akmal.

"Tidak apalah Pawi. JDT II pun okay. Cari apa yang kurang, dah hebat masuk JDT semula," tambah penyokong menggunakan nama akaun, Nurenz.

WhatsApp Image 2023-09-21 at 11.42.58

Keadaan terkini Leandro. — Facebook/JDT

Perkembangan berbeza pula menimpa jeneral tengah JDT, Leandro Velazquez yang dilihat hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan bertongkat susulan kesan pertembungan dengan ketua pasukan Selangor, Brendan Gan ketika aksi Liga Super menentang Selangor di pada 29 Julai lalu.

Gambar pemain berusia 34 tahun itu yang tersebar di media sosial menimbulkan kerisauan penyokong sekiranya Leandro akan terlepas perlawanan ACL 2023 dan juga baki aksi saingan Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram