BERMAIN di gelanggang keramat sendiri sudah pasti akan memberikan kelebihan buat skuad Perak ketika menentang Sabah FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 pada Isnin.
Tambahan pula, meskipun skuad Sang Badak itu dikatakan pasukan pilihan, anak buah Yusri Che Lah pada ketika ini sudah mempamerkan aksi mereka yang terbaik.
Ia terbukti apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) itu mampu mengikat Sabah FC dengan agregat 2-2 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Likas yang berlangsung pada 15 September lalu.
Dengan keputusan tersebut, kedua-dua pasukan dikatakan memiliki peluang seimbang untuk meraih kemenangan dalam pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Ipoh, Perak itu nanti.
Perak dijadualkan menentang Sabah FC dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 pada Isnin. — Facebook/PerakFC
Namun ada segelintir pihak yang menganggap tarikh perlawanan yang dijadualkan buat kedua-dua pasukan itu tidak sesuai.
"Kenapalah main hari Isnin? Buatlah Sabtu atau Ahad ke, barulah penuh stadium," kata Ujang56.
"Aduhai merepeklah buat hari Isnin, apa bendalah MFL (Malaysian Football League) ni," kata Akmal Shahrul.
Bagaimanapun, dalam satu hantaran di Facebook, rata-rata penyokong tetap berpandangan positif beraksi pada Isnin tidak akan menjejaskan apa-apa pada prestasi Perak.
Apatah lagi, pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu sebelum ini juga pernah beberapa kali beraksi pada hari tersebut.
"Biarpun Perak terpaksa bermain pada hari Isnin, tetapi itu bukanlah suatu masalah.
"Jika dilihat sebelum ini, Perak pernah bermain home game pada suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia 2007 pada hari Selasa, tetapi Perak tetap mara ke final," tulis Zamri Perak.
Selain itu, Perak juga dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk membolosi gawang The Rhinos sementelah pasukan itu baru sahaja mengharungi aksi sulung Kumpulah H saingan Piala AFC, menewaskan kelab Singapura, Hougang United 3-1, Khamis lalu.
Sekitar aksi menarik antara Sabah FC berdepan Hougang United dalam saingan Piala AFC pada Khamis. — Facebook/Sabah FC
Tidak dinafikan, ada kemungkinan keadaan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi psikologi dan mental barisan pemain skuad Sang Badak.
Ini kerana mereka pastinya tidak mempunyai rehat yang cukup, ditambah dengan perjalanan yang agak jauh.
Pastinya, kebanyakan pemain masih berada dalam keadaan penat dan tidak mustahil ia akan menjejaskan rentak permainan di atas padang.
Oleh itu, Perak perlu melihat situasi tersebut sebagai satu peluang untuk untuk menggayakan aksi lebih cemerlang, seterusnya menempah tiket ke separuh akhir.
"Sabah keletihan, all out perlawanan AFC lawan Hougang United main dalam hujan. Dapat rehat tiga hari saja terus terbang ke Ipoh.
"Perak wajib ambil kesempatan atas faktor ini. Main laju, pressing dan long shot, insya-ALLAH 1-2 biji bola boleh sumbat," ujar Anuar Manan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram