Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
“ANDA terus kerah diri anda hingga ke penghabisan,” kata suara latar satu klip video yang tular menunjukkan kapten Perak, Luciano Guaycochea, mengerah rakan-rakan sepasukannya di atas padang.
“Anda terus kerah diri ketika orang lain tidak termampu lagi,” sambung suara latar itu dengan visual penyerang, Seo seon-ung, sedang tertiarap, disusuli visual sepakan percuma gemilang Guaycochea yang menyemarakkan kebangkitan The Bos Gaurus dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabah 15 September lalu.
“Apabila Yusri (Che Lah) mengenali mereka, sekarang kita dapat lihat Perak salah satu team yang dapat memberi tekanan yang baik,” kata pengulas Astro Arena, Datuk Zainal Abidin Hassan, dengan visual Wan Zack Haikal Wan Noor merembat masuk gol kedua Perak untuk mengikat kedudukan 2-2.
“All the way, all the way, keep press, keep press, be brave with the ball (Terus menekan, terus menekan, beranikan diri dengan bola sepanjang masa),” demikian kata-kata semangat Yusri kepada pemain-pemainnya di bilik persalinan ketika rehat yang kemudiannya menyaksikan The Bos Gaurus dua kali bangkit daripada ketinggalan.
Perak FC kini memiliki hayat sekurang-kurangnya sehingga 120 minit lagi dan kebarangkalian penentuan sepakan penalti dalam perebutan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan bersemuka kembali di Stadium Perak, Isnin ini.
Wan Zack menjaringkan gol penyamaan ketika berdepan skuad Sang Badak. — Facebook/Perak FC
Gelagat Yusri berpelukan dengan pegawai-pegawai pasukan di garis tepi padang setiap kali pasukannya menghasilkan jaringan sudah jadi pemandangan biasa meskipun ia tidak sekerap yang diharapkan penyokong mereka.
Pun begitu, tidak dapat dinafikan yang jurulatih itu – selepas menggantikan Datuk Lim Teong Kim yang dipecat daripada tugas ketua jurulatih Perak FC pada 25 Mei lalu – berupaya menyuntik semangat sepasukan yang jitu dalam kalangan pemain-pemainnya.
Tidak sekadar itu, dia juga berhasil membuat mereka percaya kepada kemampuan diri sendiri dan tidak mudah berasa kerdil atau jauh kekurangan sekalipun ketika berdepan lawan lebih ternama dan bereputasi besar.
Berbekalkan semangat serta kegigihan berusaha tanpa mudah berputus asa, Yusri turut mampu mengerah yang terbaik daripada setiap pemainnya yang beransur-ansur mengikis tanggapan ‘budak belasahan’ yang melingkari mereka sebelumnya.
Lebih daripada semua itu, jurulatih berusia 47 tahun itu sudah dapat mengembalikan keseronokan penyokong untuk bersama-samanya mendorong Perak FC mendaki anak-anak tangga peningkatan tanpa mereka dituntut untuk melakukan keajaiban.
Yusri sempat meluangkan masa bersama penyokong skuad TBG yang hadir ke Stadium Likas, Sabah. — Facebook/Perak FC
Menelusuri dua perlawanan pertamanya di kerusi pengemudi – kedua-duanya tewas 0-3 kepada Terengganu FC (3 Jun) dan Kedah FC (7 Jun) -- dua perlawanan lagi diperlukannya – tewas 1-3 kepada PDRM FC (23 Jun) dan seri 1-1 dengan Kelantan United (7 Julai) – sebelum habuan dapat diraih.
Yusri mengecap kemenangan sulung dengan menundukkan Kuching City FC 2-1 di tempat lawan pada 16 Julai. Ia mungkin sekadar satu kemenangan tipis tapi pada masa sama, ia adalah satu lonjakan besar buat pasukan di bawah pengendaliannya.
Kembali tewas, seterusnya kepada Sri Pahang FC 0-1 (30 Julai), ia tidak merencatkan semangat TBG yang bangkit menewaskan Kedah FC 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di hadapan penyokong sendiri pada 3 Ogos, disusuli kejayaan menundukkan Penang FC 3-1 dalam aksi liga di Stadium Perak.
Titik peralihan sebenar buat Perak FC menyusul di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 18 Ogos.
Membawa bekalan kemenangan 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16, Perak bermati-matian dalam kekalahan 1-2 bagi aksi timbal balik itu untuk mara dengan agregat 4-3.
Yusri dilantik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Teong Kim. — Facebook/Perak FC
Seterusnya kekalahan 0-4 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi liga di Ipoh pada 27 Ogos hanya kekecewaan sementara sebelum mereka bangkit untuk mengikat Sabah FC dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia itu.
Bukan calang-calang pasukan yang mampu pulang dari Kota Kinabalu dengan keputusan sedemikian dan semakin tularlah klip video di pelbagai platform media sosial, terutama TikTok, meraikan kejaguhan Perak FC itu.
“Apa yang saya buat hari ini adalah atas amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh majikan,” kata Yusri kepada Bola Pegun. “Saya tidak buat ini untuk dapatkan perhatian umum atau inginkan pujian."
Mengenai klip-klip video yang kerap tular membabitkan dirinya mahupun pasukan, jurulatih itu tidak memberikan banyak perhatian melainkan menganggap apa juga yang terserlah mengenainya di tepi padang atau dalam bilik persalinan sebagai mencerminkan dirinya yang sebenar.
“Mana mungkin semua itu (seperti dalam klip video) lain daripada diri saya. Pemain-pemain di bawah saya, termasuk ketika bersama Kelantan dan Kuala Lumpur sebelum ini, kenal benar cara saya. Jika dilihat positif, Alhamdulillah.
Sumbangan Luciano akan terus dinantikan untuk aksi timbal balik di laman sendiri. — Facebook/Perak FC
“Kalau saya dilihat terlebih bersemangat, pemain-pemain dalam pasukan (Perak FC) miliki perasaan dan perjuangan seperti saya. Segalanya dari hati yang mendalam,” katanya.
Di ambang perlawanan terbesar mereka lusa, Yusri tetap memilih untuk merendah diri dengan memberikan kedudukan sebagai pasukan pilihan kepada Sabah FC.
“(Tapi) ini peluang untuk pemain-pemain saya cipta sesuatu yang terbaik, semuanya terserah kepada mereka. Saya harap kepada pemain-pemain untuk memberi sehabis daya mereka, termasuk kemungkinan masa tambahan dan sepakan penalti,” katanya sambil mengharapkan penyokong akan memberi sokongan padu di samping penonton di rumah terus mendoakan.
Di pihak Yusri sendiri, jurulatih itu boleh diyakini akan memuncakkan semangat pemain-pemain dengan kata-kata rangsangan dalam bilik persalinan sebelum sepak mula selain pekikan arahan dan isyaratnya dari tepi padang seperti biasa.
TikTok pastinya tidak akan ketandusan kandungan untuk terus ditularkan selepas perlawanan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram