[VIDEO] Pernah tempuh detik hitam, sedekad lalu Perak FA gantung pegawai, petugas disyaki 'sakau' duit


  • Podium
  • Ahad, 24 Sep 2023

Antara kesebelasan utama Perak FA pada musim 2013.

PERAK FC akan melayani kunjungan Sabah FC dalam perlawanan suku akhir kedua kejohanan Piala Malaysia 2023 di Stadium Ipoh, Perak pada Isnin.

Sebelum ini, Perak berjaya mengikat Sabah 2-2 di hadapan ribuan penyokong Sang Badak selepas mereka ketinggalan pada awal minit pertama separuh kedua.

Sejak Yusri Che Lah mengambil alih The Bos Gaurus, prestasi pasukan Perak dilihat semakin meningkat apatah lagi berjaya mengejutkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) seawal pusingan pertama kejohanan itu.

Namun begitu, sebelum diswastakan menjadi Perak FC, 10 tahun lalu pasukan yang menjuarai Piala Malaysia sebanyak lapan kali itu pernah tewas besar menentang Sarawak FA sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan.

Menurut laporan The Star bertarikh 24 September 2013, PAFA bertindak menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku elemen rasuah dan sabotaj dalam skuad Perak.

Ketika itu, Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk menyiasat kemungkinan berlaku rasuah dan sabotaj berikutan siri kekalahan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia.

"Kami juga menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai pengerusi jawatankuasa disiplin PAFA Datuk Ismail Saffian untuk menyiasat secara terperinci apa yang kami syaki ini.

"Siasatan akan dijalankan dalam tempoh dua minggu. Mereka akan melaporkan siasatan kepada Jawatankuasa Pengurusan Negeri dan Jawatankuasa Eksekutif Induk PAFA," katanya.

Beliau berkata, elemen sabotaj dan rasuah bola sepak itu disyaki berlaku dalam skuad kendalian jurulatih Azraai Khor Abdullah itu sejak empat perlawanan Piala Malaysia lepas dan kemuncaknya apabila Perak tewas 1-6 kepada Sarawak di Kuching pada 21 September 2013.

Tambahnya lagi, tiadanya komitmen, kesungguhan dan disiplin juga adalah elemen sabotaj dalam bola sepak yang merosakkan pasukan walaupun elemen rasuah tidak berlaku.

"Saya telah mengurus pasukan sejak 2011. Saya tahu bila mereka benar-benar bermain atau dalam bahasa bola sepak kami kata 'saya tahu bila pemain tarik game dan buka game'. Tiga tahun memberi pengajaran kepada saya, jadi jangan ambil mudah berhubung perkara yang kami bangkitkan ini," jelasnya.

Pada tahun tersebut, perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 September 2013, kalah kepada Lions XII 1-2 (31 Ogos 2013) dan kalah teruk iaitu 1-6 kepada Sarawak (21 September 2013) sekali gus gagal ke peringkat suku akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram