Kelantan, Sri Pahang dan Penang wajar intai 3 pemain import Piala MFL musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Assifuah sudah menjaringkan 12 gol dalam Piala MFL.

LIGA SUPER semakin hampir menutup tirainya apabila tinggal beberapa sahaja baki perlawanan yang perlu dihadapi pasukan Liga Malaysia untuk menempatkan diri dalam kedudukan liga terbaik musim ini.

Meskipun sudah melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import dan pemain tempatan baharu masih ada pasukan yang belum mampu mempertingkatkan prestasi semasa mereka.

Malang bagi Kelantan FC apabila mereka tidak dibenarkan untuk menurunkan pemain import baharu selepas didakwa masih belum mendapat kebenaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana ada tunggakan gaji.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula dilihat mempunyai masalah untuk memantapkan barisan pertahanan mereka selepas Rodney Celvin mengalami prestasi yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Manakala Perak FC di bawah bimbingan Yusri Che Lah pula dalam landasan terbaik untuk kembali bersaing dan memberikan cabaran sengit dalam Piala Malaysia namun The Bos Gaurus kelihatan tumpul di bahagian serangan pasukan walaupun sudah membawa masuk Luka Milunovic.

Selain tiga pasukan di atas, Penang dan Sri Pahang patut mengintai tiga pemain import yang kini cemerlang beraksi dalam Piala MFL:

Assifuah

Assifuah tampil cemerlang apabila berada di skuad KDA FC B.

1. Ebenezer Assifuah (Kedah Darul Aman B)

Penyerang berbisa Kedah Darul Aman (KDA FC), Ebenezer Assifuah tampil cemerlang apabila berada di skuad KDA FC B.

Pemain kelahiran Ghana itu merupakan pesaing terdekat pemain JDT II, Gabriel Nistelrooy Tamin apabila mencetak 12 gol dalam perlawanan Piala MFL berlangsung.

Assifuah merupakan penyerang import berbisa kerana pernah menjaringkan hatrik ketika bertemu Sabah FC Bawah 23 Tahun di Stadium Likas, Sabah pada Mei lalu.

Kelincahan pemain berketinggian 1.76 meter itu mempunyai peluang yang tinggi untuk menjaringkan gol menerusi tandukan mahupun rembatan kencang yang dihasilkan.

Selain itu, Assifuah pernah bergelar penjaring terbanyak dalam saingan Piala Dunia 2013 Bawah 20 Tahun ketika beraksi bersama pasukan negaranya, Ghana.

FwqQAOaaUAEL6ZS

Chijioke sudah menjaringkan 12 gol dalam Piala MFL.

2. Chijioke Chukwu (PDRM FC)

Penyerang PDRM FC, Chukwu Chijioke juga merupakan antara pencabar kasut emas untuk saingan Piala MFL.

Chijioke sudah menjaringkan 12 gol dan meletakkan kedudukannya ketiga terbaik dalam senarai penjaring terbanyak.

Sosok tubuh yang sasa memberikan kelebihan untuk Chijioke menjaringkan gol sama ada menerusi tandukan mahupun sepakan yang kencang.

Jika dibandingkan dengan kedua-dua calon tersebut, pemain kelahiran Nigeria itu turut memiliki sedikit kelebihan dari segi pengalamannya dalam kancah bola sepak.

Walaupun menjaringkan 12 gol setakat ini, Chijioke mempunyai pengalaman bermain bersama skuad utama berbeza dengan kedua-dua pemain tersebut.

FqOHSvmX0AAKA2Q

Faye sudah melakukan sembilan perlawanan dalam Liga Super.

3. Jacque Faye (PDRM FC)

Pasangan Chukwu di PDRM FC juga merupakan pemain tengah berbisa yang kini sudah menjaringkan lima gol dalam 16 perlawanan Piala MFL musim ini.

Manakala di Liga Super, pemain kelahiran Senegal itu sudah melakukan sembilan perlawanan tetapi gagal mencatatkan sebarang gol.

Dengan harga murah serta sudah terbukti beraksi dalam Liga Malaysia, Faye mungkin antara pemain yang boleh diintai oleh kelab yang tidak mempunyai bajet tinggi seperti Kelantan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram