PERTEMUAN suku akhir kedua Piala Malaysia antara pasukan Sri Pahang FC dan KL City FC di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad pastinya menjanjikan perlawanan sengit.
Peluang buat kedua-dua kelab untuk melangkah ke separuh akhir masih terbuka dengan pasukan pelawat hanya memiliki kelebihan satu gol selepas menewaskan Pahang dengan keputusan 1-0 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur sebelum ini.
Beraksi di depan penyokong sendiri, ia semestinya memberikan satu lonjakan serta suntikan moral buat anak-anak buah Fandi Ahmad untuk menampilkan corak permainan berbeza pada kali ini.
Penyerang import, Kpah Sherman antara tonggak dipertaruhkan dalam perlawanan itu nanti dengan potensi pemain tersebut selaku peledak utama pasukan Tok Gajah musim ini kian memberangsangkan.
Namun, aksinya pada perlawanan suku akhir pertama sebelum ini melihatkan penyerang kelahiran Liberia itu gagal menerjah ke gawang lawan selepas diletakkan sebagai penyerang tunggal di posisi depan.
Kpah Sherman sentiasa dikawal rapi benteng pertahanan pasukan lawan. — MFL
Situasi itu dianggap sebagai salah satu punca mengapa skuad Tok Gajah gagal meraih kemenangan dengan Kpah Sherman perlu digandingkan dengan seorang lagi penyerang di bahagian serangan.
Meskipun Pahang memiliki ramai pilihan pemain yang boleh diletakkan sebagai gandingan duo di depan, namun rata-rata penyokong sebulat suara menggesa agar Fandi Ahmad menggandingkan Kpah Sherman dan Rafael Silva di selaku peledak pasukan dalam pertemuan itu kelak.
Memiliki kawalan bola kemas dan rembatan padu dari luar kotak penalti, keserasian kedua-dua pemain tersebut diyakini mampu membuka tirai jaringan seawal separuh masa pertama.
"Kalau masih turunkan Kpah Sherman seorang di depan memang Pahang susah nak menang, kena gandingkan dia dengan Rafael Silva baru permainan rancak di separuh masa pertama," kata Ahmad Sharil.
"Mohon turunkan Kpah dan Rafael serentak, kalau letak seorang sahaja penyerang tunggal memang susah nak dapat gol sebab pertahanan KL memang kunci ketat Kpah Sherman, bila ada dua penyerang baru boleh tembus gawang lawan," ujar Hassan Ibrahim.
"Nak menang kena masukkan dua penyerang di separuh masa pertama, Kpah Sherman dan Rafael Silva jadi pilihan sebab dua-dua rembat padu, takda masalah nak tembus benteng sebab badan pun tegap," jelas Anuar Rahman.
"Posisi 4-4-2 kena main kali ini, penyerang duo boleh bantu kita menang dan layak ke sparuh akhir, main bermati-matian di depan penyokong sendiri," tambah Baharudin Amir.
Maka dengan itu, aksi sebelum ini jelas menyedarkan seluruh pemerhati bola sepak tanah air khususnya peminat Tok Gajah betapa pasukan itu amat memerlukan dua penyerang di depan untuk membolosi gawang lawan.
Dengan momentum serta semangat juang tinggi dimiliki barisan pemain dan jurulatih, peminat optimis pasukan Pahang mampu melakar kejutan dan layak ke peringkat separuh akhir kempen Piala Malaysia kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram