ISU kekurangan bekalan mentah dihadapi rakyat ketika ini kian meruncing dengan solusi permasalahan itu masih belum ditemukan dan meninggalkan tanda tanya ramai.
Terbaharu, kesukaran untuk mendapatkan stok beras di pasaran mencetuskan kemarahan penduduk khususnya di kawasan pedalaman yang sering kali ketinggalan dari segi bantuan dan kemajuan.
Namun, isu itu bukanlah kali pertama berlaku di Malaysia dengan beberapa lagi makanan lain seperti gula, minyak kelapa dan telur pernah ketandusan bekalan satu ketika dahulu.
Susulan perkara itu, sebilangan masyarakat tempatan mula membangkitkan isu ekonomi negara yang semakin merudum walhal, kita merupakan antara negara pengeluar dan mempunyai hasil bumi yang sepatutnya membantu menaikkan taraf serta kewangan negara.
Sektor kelapa sawit merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara. — Bernama
Tidak dinafikan bahawa industri import dan eksport turut memainkan peranan penting dalam hal ini, namun kepentingan kos sara hidup dan bekalan makanan khususnya sewajarnya dijadikan keutamaan kerajaan dalam menyelesaikan kemelut dihadapi rakyat ketika ini.
Mengulas lanjut hal tersebut, Felo Penyelidik Kanan dan Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar berkata, penerokaan teknologi baharu serta tanah untuk penghasilan produk perlu dilakukan demi menjana pendapatan jangka masa panjang.
"Industri minyak sawit contohnya, kita terlampau bergantung dengan tenaga buruh asing dan tidak intensif dari segi teknologi terkini.
"Kita seharusnya berusaha membangunkan komoditi ataupun teknologi baharu yang berasaskan minyak sawit kerana ia masih memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negara kita," katanya kepada Majoriti.
Dr Shankaran Nambiar. — Agensi
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu beras tempatan yang semakin sukar didapati ketika ini.
Jelas Nambiar, selain industri kelapa sawit, negara mempunyai penanaman tanaman padi yang turut menjana pendapatan menerusi sistem import dan eksport ke luar negara.
"Kita memiliki hasil bumi seperti tanaman sawah padi tetapi terlalu bergantung sepenuhnya kepada beras import, akibatnya tiada percubaan dilakukan untuk membangunkan sektor itu selama bertahun-tahun.
"Usaha untuk memodenkan ataupun meningkatkan produktiviti penanaman padi juga tidak dijalankan, justeru ia masih di takuk lama dan menjadi pekerjaan golongan tua kerana tiada teknologi baharu dikembangkan dalam industri tersebut," ujarnya.
Tambahnya, kerajaan perlu memantau semula sektor pertanian secara khusus kerana ia mampu membantu keperluan rakyat dan negara.
Dengan kenaikan harga barangan mentah dan kekangan bekalan stok dihadapi, keluasan tanah dan potensi penghasilan tanaman baharu perlu diteroka dengan segera.
"India misalnya mungkin akan menggalakkan hasil tanaman dalam negara mereka satu hari nanti dan keluaran kita tidak akan diperlukan, jadi pihak atasan perlu sedar akan perkara ini dan lebih terbuka untuk peluang akan datang," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram