[VIDEO] Pasangan 'honeymoon' China terkejut jumpa kamera 'skodeng’ dalam soket elektrik dekat hotel Kota Kinabalu


  • Tular
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Tangkap layar sejenis kamera tersembunyi ditemukan dalam soket elektrik di sebuah bilik hotel dekat Kota Kianabalu, Sabah.

PASANGAN suami isteri dari China mendakwa menemui sejenis kamera tersembunyi dalam bilik penginapan ketika menginap di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Perkongsian pasangan itu di laman media yang mula tular pada Khamis mendakwa, peranti itu diletakkan dalam soket elektrik yang sama sekali sukar untuk dilihat dengan mata kasar.

Individu terbabit yang difahamkan ingin berbulan madu di negeri terbabit kemudiannya terpaksa membatalkan percutian mereka susulan kejadian tersebut.

Kronologi kejadian bermula sebaik pasangan itu tiba di hotel tersebut pada pukul 3 pagi dan membuat pemeriksaan di bilik penginapannya bagi memastikan tiada sebarang kamera tersembunyi.

Namun, apabila suaminya memancarkan lampu telefon ke arah soket elektrik tersebut, kelihatan seperti terdapat pantulan cahaya yang mencurigakan.

Mereka kemudiannya bertindak membuka soket elektrik tersebut dan terkejut apabila mendapati kamera tersembunyi diletakkan di antara dua port USB terbabit.

Aduan telah dibuat terhadap ejen hotel tersebut namun mereka kemudiannya dituduh membuat tuduhan palsu kerana mahu mengelak daripada membayar wang penginapan sebanyak RM400.

"Mengapa saya perlu lalui semua masalah ini hanya untuk mengelak daripada membayar RM400 semalam untuk penginapan? Rancangan bulan madu kami terganggu sepenuhnya.

"Polis juga menyuruh saya memadamkan hantaran itu daripada media sosial, tetapi selepas kembali ke negara asal, saya memutuskan untuk berkongsi semula siaran itu sekali lagi untuk memberi amaran kepada orang lain kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," dakwanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat laporan pasangan warga China yang menemukan kamera kecil tersembunyi dalam soket di sebuah bilik inap desa di sini yang kini tular di media sosial.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes tersebut berdasarkan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, setelah menerima laporan polis daripada pasangan tersebut pada pukul 5.27 petang, 7 September lepas.

"Siasatan awal di tempat kejadian telah dijalankan dan rampasan ke atas barang kes telah dibuat, usaha untuk mengenal pasti suspek sedang dilakukan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Mohd Zaidi berkata, pihak polis menafikan telah meminta pengadu untuk memadamkan hantaran yang telah dibuat pengadu di platform medianya.

Beliau berkata, orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kes tersebut boleh menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu Deputi Superintendan Khairul Shah Peri menerusi nombor telefon 011-26691994. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram