PERAK FC yang pada awalnya tidak ingin menggunakan khidmat pemain import terlalu ramai nampaknya menekan butang kecemasan dengan membawa masuk Luka Milunovic dari Serbia menyertai kelab tersebut untk baki Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Milunovic bukanlah nama asing dalam landskap bola sepak tanah air apabila sebelum ini penyerang import tersebut pernah menyarung jersi Melaka United FC (MUFC) pada musim 2015 dan pemain pinjaman Sabah FC pada tahun yang sama.
Untuk rekod, pemain yang sebelum ini beraksi bersama Liga Divisyen Satu Serbi, FK Radnicki 1923 Kragujevac berjaya meledakkan 10 gol pada 21 penampilan sepanjang beraksi di Malaysia.
Kemunculannya semula ke saingan domestik membawa kegembiraan kepada penyokong khususnya pengikut The Bos Gaurus (TBG) yang tidak sabar untuk menyaksikan ketajamannya di depan gawang dan sekali gus membantu kedudukan Perak FC pada baki saingan liga.
Bukan hanya penyokong, malah pemain berusia 30 tahun itu juga tidak sabar untuk memberi kemenangan kepada Perak FC dan Milunovic percaya dengan usaha tersebut mampu mengubati luka penyokong yang sebelum ini asyik disajikan kekalahan demi kekalahan.
"Saya Luka Milunovic dari Serbia. Saya teruja sebab dapat kembali lagi di Malaysia.
"Saya harap kita (Perak FC) dapat buat yang terbaik kita agar boleh beri kemenangan sebanyak mungkin yang kita mampu, sekali gus beri kegembiraan kepada penyokong," katanya ringkas kepada media rasmi Perak FC.
Kehadiran Milunovic dipercayai mampu membantu memperbaiki jentera serangan skuad Seladang dan adalah pengganti ideal selepas Perak memutuskan untuk melepaskan penyerang import dari Nigeria, Christian Obiozor yang gagal memberikan sumbangan berkesan.
Setakat 16 perlawanan Liga Super, Perak FC hanya merekodkan dua kemenangan, empat seri dan 10 kekalahan sehingga menyebabkan banyak kritikan dilemparkan kepada skuad kendalian Yusri Che Lah itu.
Dalam pada itu, Milunovic adalah pemain import ketiga dibawa masuk Perak sejak tingkap perpindahan kedua dibuka 5 Julai lalu, dua lagi ialah pemain Korea, Kim Youngdo dan Jesper Nyholm dari Filipina.
Kedatangan tiga tonggak baharu itu menjadikan Perak FC kini mempunyai enam import termasuk Luciano Goaycochea, Sunday Afolabi serta Seo Seonung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram