PADA 26 Jun lalu, Perak FC mengumumkan ketibaan rekrut pertama mereka untuk jendela perpindahan kedua Liga Super dengan bek tengah kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm menjadi pemain baharu kelab itu.
Selain baru sahaja berusia 29 tahun, pengalaman pemain berkenaan yang pernah beraksi di Sweden dan Thailand menjadi salah satu faktor pihak pengurusan mendapatkan khidmatnya.
Kehadirannya itu dilihat sebagai satu langkah positif buat skuad The Bos Gaurus (TBG) memandangkan mereka terlalu rapuh di posisi pertahanan.
Setakat 15 perlawanan, pasukan Utara tanah air itu sudah dibolosi sebanyak 34 kali sehingga menyaksikan Perak FC berada di tangga ke-11 dengan hanya sembilan mata dikumpulkan.
Namun, di sebalik isu berkenaan, masih terdapat masalah yang lebih besar perlu diselesaikan dengan segera sekiranya kelab terbabit mahu memperbaiki kedudukan mereka ketika separuh kedua musim.
Obiozor terus menghampakan pihak pengurusan dan penyokong skuad TBG.
Ketumpulan jentera serangan boleh dianggap sebagai ujian getir yang sepatutnya diberikan perhatian memandangkan skuad TBG hanya menjaringkan 10 gol.
Harapan untuk mendapatkan jaringan sebelum ini diletakkan di bahu pemain kelahiran Nigeria, Christian Obiozor apabila pemain berkenaan mempunyai susuk fizikal yang cukup baik.
Malah, peledak berusia 28 tahun itu juga tidak perlu menunggu lama untuk mencetak gol pertamanya bersama Perak FC selepas meraih gol dalam aksi Piala FA menentang Sri Pahang FC Mac lalu.
Namun, harapan berkenaan akhirnya tidak membuahkan sebarang hasil apabila Obiozor terus tumpul di hadapan pintu gol lawan dengan jaringan berkenaan merupakan gol sulungnya dalam jersi skuad TBG.
Hampa dengan pulangan itu, bekas ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim mengambil keputusan drastik dengan menggugurkan pemain tinggi lampai tersebut ke skuad Piala MFL Perak FC.
Pendekatan terbabit juga bagaimanapun tidak memberikan sebarang perubahan apabila dia masih gagal untuk menambah koleksi jaringan sepanjang berada dalam Liga Malaysia.
Tetapi, sejak kebelakangan ini, kelibat Obiozor sudah tidak kelihatan di padang latihan, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong kelab.
Menjawab akan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin menjelaskan bahawa pemain tersebut tidak lagi bersama pasukan berkenaan.
"Ya, dia dah nak balik dah tu," katanya ringkas kepada persoalan seorang peminat bola sepak tempatan, Syzwan Ar yang bertanya akan status Obiozor.
Wan Zack sering mengalami masalah kecederaan sepanjang bersama Perak FC. — Facebook/Perak FC
Ketika ini, terdapat khabar angin yang mengatakan skuad TBG bakal diperkuatkan bekas penyerang Melaka United, Luka Milunovic yang kini pulang ke tanah airnya untuk beraksi dengan Radnicki 1923 Kragujevac dalam Liga Super Serbia.
Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan akan dibuka sehingga penghujung Julai, masih terdapat pelbagai kemungkinan mengenai rekrut pasukan itu.
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Meor Zarin turut sempat bertanya mengenai keberadaan beberapa pemain yang berkemungkinan dapat diturunkan selepas dilaporkan cedera sebelum ini.
"Wan Zack (Haikal), Syukri (Baharun) mungkin, Farris (Izdiham) mungkin. Tengoklah, itu adalah keputusan ketua jurulatih dan nasihat daripada pihak perubatan," katanya lagi.
Selepas ini, skuad TBG bakal berdepan sebuah lagi pasukan bergelut, Kelantan United FC di Stadium Ipoh, Perak pada Jumaat.
Sekiranya pasukan kendalian Yusri Che Lah itu mencatatkan kemenangan, kedudukan mereka masih sama dalam carta liga, namun ia dapat menamatkan rentetan kekalahan sebanyak lima kali berturut-turut.
Bagaimanapun, sekiranya pasukan berkenaan tewas, mereka berpotensi untuk terus jatuh ke posisi lebih mengecewakan dengan Kuching City FC turut berpeluang memintas Perak FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram