SEPERTI dijangka, jendela perpindahan kedua Liga Super yang dibuka pada awal Julai lalu menyajikan kejutan buat peminat bola sepak tanah air.
Pemergian yang tidak tersangka-sangka serta keputusan menimbulkan tanda tanya kerap membanjiri media sosial dengan ada yang sanggup mencetuskan perdebatan hangat mengenainya.
Sebagai contoh, tindakan pemain naturalisasi negara, Lee Tuck yang menamatkan kontraknya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC terus dibincangkan dengan orang ramai terus tertanya-tanya mengenai hala tujunya.
Di samping itu, penghijrahan Safuwan Baharudin yang kembali ke Selangor FC dari Negeri Sembilan FC membangkitkan 1,001 persoalan sehingga sebahagian penyokong mempersoalkan tindakan kelab Lembah Klang itu.
Tidak cukup dengan itu, arena bola sepak negara turut diwarnai dengan pengumuman mengenai kehadiran pemain-pemain baharu yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.
Meskipun pihak pengurusan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan secara besar-besaran, pengorbanan itu dibuat bagi membantu cita-cita yang dipasang pada awal musim mampu dicapai.
Berdasarkan lambakan pemain yang menyertai liga tempatan, terdapat beberapa nama yang pastinya akan diberikan perhatian penyokong pasukan masing-masing.
Selain mempunyai rekod yang cemerlang di luar negara, ada juga yang wajar diikuti rapat perkembangannya disebabkan persembahannya yang kurang meyakinkan bersama pasukan terdahulu.
Melihat kepada senarai pemain yang diumumkan sepanjang jendela perpindahan dibuka, terdapat tiga nama yang semestinya akan menjadi topik perbualan hangat untuk baki musim 2023.
1. Heberty Fernandes (JDT)
Selepas mengukuhkan legasinya sebagai antara penyerang prolifik di Thailand, Heberty Fernandes memilih untuk melebarkan sayap kariernya dalam Liga Super.
Hasrat berkenaan direalisasikan pada 21 Julai lalu apabila dia memilih untuk menyertai Johor Darul Takzim (JDT) tidak lama selepas kontraknya bersama Bangkok United FC ditamatkan.
Berdasarkan laporan, kehadirannya itu adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo yang mengalami kecederaan jangka masa panjang.
Heberty sudah menjaringkan gol pertamanya bersama JDT ketika bertemu Selangor FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, tidak hairanlah apabila perbincangan hangat mula membanjiri media sosial ketika pengumuman mengenai kehadirannya dibuat memandangkan ia merupakan satu tugasan berat.
Tetapi, penyerang berusia 34 tahun itu dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta nama bersama skuad Harimau Selatan apabila sudah pun membuka akaun jaringannya dalam aksi Liga Super berdepan Selangor FC.
Sumbangan berkenaan hanya mengesahkan statusnya sebagai antara import terbaik pernah disaksikan dalam arena bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, masih terdapat satu tugasan berat yang perlu dipikul Heberty apabila sentuhannya terus didambakan dalam kempen Liga Juara-juara AFC (ACL) bersama JDT.
Namun, dengan penyerang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam pertandingan berkenaan, dia dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk memacu juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
2. Luka Milunovic (Perak FC)
Beberapa musim kebelakangan ini, Perak FC seperti tidak mempunyai nasib yang baik setiap kali menyambar seorang penyerang import mahupun tempatan.
Penyerang kelahiran Croatia, Stipe Plazibat yang dibawa masuk ketika skuad The Bos Gaurus (TBG) masih beraksi dalam Liga Perdana musim lalu tidak memberikan sumbangan seperti mana diharapkan.
Situasi tersebut bagaimanapun berulang pada awal musim lalu apabila kelab Utara tanah air itu memilih untuk membawa masuk dua penyerang, Christian Obiozor dan Hadi Fayyadh Abd Razak.
Meskipun kedua-dua pemain itu diberikan minit permainan yang mencukupi dalam Liga Super, mereka gagal untuk menjaringkan sebarang gol.
Milunovic masih menanti-nantikan jaringan sulungannya bersama skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Statistik mengecewakan tersebut menyebabkan Perak FC terus berada dalam kelompok bawahan liga dengan catatan mereka di hadapan pintu gol merupakan antara yang tercorot.
Jadi, untuk menyelesaikan isu berkenaan, pihak pengurusan kelab memilih untuk menyambar khidmat bekas pemain Melaka United dan Sabah FA, Luka Milunovic.
Walaupun lebih selesa beraksi sebagai seorang perancang, ketandusan pilihan memaksa ketua jurulatih, Yusri Che Lah meletakkannya sebagai penyerang.
Selepas tiga perlawanan, pemain berusia 30 tahun itu masih menunggu untuk merobek gawang gol lawan, namun persembahannya masih wajar diberikan pujian.
Tetapi, mampukah penyokong Perak FC memberikan masa mencukupi buat Milunovic menampilkan bakatnya yang terbaik atau dia akan diberikan tekanan menggunung sebagaimana disaksikan Obiozor, Plazibat dan Hadi Fayyadh?
3. J Partiban (Kedah Darul Aman FC)
Sepertimana dibincangkan di atas, KDA FC membuat satu pengumuman mengejutkan pada penghujung jendela perpindahan yang lalu apabila menyatakan bahawa mereka sudah berpisah dengan Lee Tuck.
Kehilangan pemain berusia 35 tahun tersebut dilihat akan memberi satu tamparan dalam misi skuad Sang Kenari untuk layak ke pentas Asia musim depan memandangkan dia merupakan tonggak utama pasukan.
Pengumuman terbabit mencetuskan persoalan hangat dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang berteka-teki mengenai pengganti terbaik untuk Lee Tuck.
Jadi, dalam menjawab hal itu, pihak pengurusan kelab memilih untuk membawa masuk pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, J Partiban pada Selasa.
Partiban diumumkan sebagai rekrut baharu skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Meskipun hanya disambar dengan kontrak berstatus pinjaman, keputusan terbabit masih cukup disenangi penyokong yang teruja dengan keputusan terbabit.
Di samping mempunyai pengalaman cukup mendalam, pemain berkenaan juga dikenali dengan kebolehannya untuk menyesuaikan diri dalam pendekatan taktikal pihak kejurulatihan.
Selain itu, Partiban mempunyai reputasi sebagai seorang penyerang yang rajin untuk mengganggu gerakan pihak lawan sebagaimana dapat disaksikan beberapa tahun sebelum ini.
Bagaimanapun, persoalan turut timbul mengenai sumbangan yang dapat disajikan bekas pemain Perak FC itu memandangkan dia jarang diberikan minit permainan sepanjang musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram