'Oppa is back', gandingan dua import Perak jadi igauan ngeri The Cats


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Luciano mencetak gol pertama Perak untuk membolehkan pasukan itu mendahului di depan pada aksi menentang Kuching City. — Perak FC

KUNJUNGAN Perak FC ke Stadium Negeri, Kuching, Sarawak dalam aksi saingan Liga Super 2023 menentang Kuching City FC pada Ahad membuahkan kejayaan kepada skuad Seladang.

Skuad kendalian Yusri Che Lah akhirnya memperoleh kemenangan sulung ke atas The Cats dengan keputusan 2-1 selepas mengharungi lima perlawanan sebagai pengendali pasukan menggantikan Datuk Lim Teong Kim.

Perak FC terlebih dahulu memperoleh gol hasil jaringan importnya, Luciano Guaycochea menerusi bantuan hantaran daripada Shafizi Iqmal pada minit ke-13 perlawanan.

359482312_289538636959852_6898201574964817660_n

Pasukan tuan rumah kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi jaringan daripada Abu Kamara yang berjaya mengikat seri keputusan hingga separuh masa kedua.

Kebuntuan kedua-dua pasukan mencari jaringan akhirnya terbuka selepas seorang lagi import berkualiti Perak FC, Seo Seonung meletakkan The Bos Gaurus di hadapan pada minit ke-80.

Seo Seonung yang lama berehat ekoran masalah kecederaan mendapat pujian daripada penyokong Perak FC kerana berjaya menghadirkan gol walaupun baru beraksi semula selepas terlepas sembilan perlawanan.

361349682_289574980289551_1291401286518591576_n

Seo Seonung yang pulih daripada kecederaan mencetak satu gol buat Perak. — Perak FC

Dua lagi import yang baru ditandatangani iaitu Jesper Nyholm dan Luka Milunovic masih belum menunjukkan belang sebenar dipercayai mungkin kerana belum mendapat keserasian dalam kalangan rakan sepasukan.

Begitupun rata-rata penyokong berpuas hati kerana Milunovic menunjukkan persembahan yang nampak lebih baik daripada import sebelum ini iaitu Christian Obiozor.

Jesper juga agak baik namun ketika ini situasi kecederaan hamstring menjadi kebimbangan sebahagian besar penyokong kerana dikhuatiri akan terlepas perlawanan seterusnya.

Dengan kemenangan itu, skuad Seladang menghuni tangga ke-11 liga dengan kutipan 13 mata selepas 17 perlawanan berlangsung dan akan menentang Sri Pahang FC pada aksi seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram