Anggap naturalisasi sia-sia, fans desak IC Lee Tuck ditarik balik


  • Podium
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Lee Tuck merupakan salah seorang pemain naturalisasi negara. — Facebook/Agensi

PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck kini sudah tidak lagi beraksi di Liga Malaysia selepas menamatkan kontrak bersama-sama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Kini sudah pulang ke negara kelahiran iaitu England, Lee Tuck tidak lagi bermain sebarang bola sepak baik dalam kancah profesional atau separuh-profesional (semi-pro).

Sebaliknya, dia dan isterinya iaitu Georgia telah mengusahakan sebuah perniagaan hartanah dengan pasangan tersebut menyediakan perkhidmatan sewa beli rumah.

Selepas pendedahan Majoriti mengenai karier baharu Lee Tuck yang dilihat sudah mula menjauhkan diri daripada bola sepak, ia telah menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan.

354047137_963398454733391_7775093001156696836_n

Aksi terakhir Lee Tuck bersama Harimau Malaya sewaktu perlawanan persahabatan di Terengganu. — Facebook/FAM

Rata-ratanya kecewa dengan apa yang berlaku. Pada hemat mereka, Lee Tuck kini adalah salah satu prospek naturalisasi yang tidak berjaya.

Penyokong berasakan Lee Tuck tidak berbakti sepenuhnya kepada bola sepak Malaysia terutamanya buat Harimau Malaya. Oleh itu, ada yang mahu kerakyatan pemain berusia 35 tahun tersebut ditarik balik.

"Lucutkan kewarganegaraan Lee Tuck," cadang penyokong bernama Ahmad Ahmad.

"Tarik baliklah IC dia," penyokong bernama Syaq juga turut mempunyai pandangan yang sama.

Malah, ada juga penyokong berasakan tindakan memberikan kerakyatan kepada Lee Tuck satu perkara yang merugikan Malaysia.

"Buat penat je Jabatan Pendaftaran Negara bagi kad pengenalan kepada dia," kata Janartana Chandra.

"Untung dapat kad pengenalan Malaysia, main dekat Malaysia boleh kira pakai jari," komen Hazreen Reen.

"Jadi, kad pengenalan Malaysia ini mudah diperkotak-katikkan ke?," soal Muhd Hanif.

Apa yang berlaku kepada Lee Tuck telah menambah kekecewaan penyokong bola sepak tempatan terhadap pemain naturalisasi.

Sebelum ini, kita telah dikecewakan dengan keputusan menaturalisasikan Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh yang tidak menyumbang dengan cemerlang kepada Harimau Malaya.

Walaupun kini sudah tidak beraksi dengan mana-mana pasukan dan fokus kepada perniagaannya, Lee Tuck masih belum mengumumkan persaraannya daripada bola sepak secara rasmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram